Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin (kiri) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Mohammad Mantek (kanan) melihat paip air yang bocor ketika membuat lawatan kerja meninjau keadaan perumahan dan persekitaran di Rumah Transit 1Malaysia (RT1M) Bukit Jalil, Bandar Kinrara, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 26 MEI 2018.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin (kiri) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Mohammad Mantek (kanan) melihat paip air yang bocor ketika membuat lawatan kerja meninjau keadaan perumahan dan persekitaran di Rumah Transit 1Malaysia (RT1M) Bukit Jalil, Bandar Kinrara, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 26 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menetapkan sasaran untuk mengadakan pemilihan Datuk Bandar selepas tiga tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. 

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan memerlukan masa untuk menstabilkan kewangan negara sebelum mengadakan pemilihan Datuk Bandar yang memerlukan kos. 

“Pihat Berkuasa Tempatan adalah kerajaan ketiga wajar untuk ada pilihan Datuk Bandar sekarang memandangkan kita ada banyak perkara-perkara yang kita nak kemaskini. 

“Jadi saya lihat perkara ini dalam masa enam bulan baru kita melihat kajian untuk melaksanakan dan secepat mungkin kalau boleh buat memandangkan ekonomi negara kita kena stabilkan dengan hutang RM1 trilion.

“Saya boleh katakan ianya akan berlaku dalam tiga tahun  (sasaran),” katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Transit 1Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, pemilihan tersebut sepatutnya tidak membebankan kerajaan dengan menanggung perbelanjaan pemilihan itu. 

Malah beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan rela perbelanjaannya dikurangkan bagi mempercepatkan proses pilihan Datuk Bandar di seluruh negara. 

“Saya tidak mahu menambahkan beban sekarang ini kalau kementerian saya boleh potong dan lepas itu ada bajet kita buat cepat, tapi kalau tidak kena tunggu kewangan stabil,” ujarnya. 

Sebagai langkah penjimatan, Zuraida berpendapat pemilihan Datuk Bandar pada masa akan datang juga boleh diadakan secara berperingkat.

“Kalau tidak boleh buat semua kita buat peringkat berperingkat. 

“Kita mungkin tidak boleh buat untuk seluruh negara mungkin kita lihat negeri yang tertentu macam Selangor yang termaju sekali mungkin kita boleh buat, Pulau Pinang, yang di bawah Pakatan dahulu,” katanya. 

Untuk rekod, pemilihan kepimpinan PBT pernah diadakan iaitu bagi memilih ahli jawatankuasa di peringkat daerah sebelum 1964 namun dimansuhkan bagi mempercepatkan proses pembangunan.

Pada November 2006, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mencadangkan agar pilihan raya PBT diadakan semula semasa sidang Dewan Rakyat. -MalaysiaGazette