KUALA LUMPUR – Jika dulu, kehadiran mereka hanya sekadar pekerja ladang dan buruh kasar tetapi kini, mereka bukan sahaja sudah mendominasi kaum tertentu di Malaysia malah warga asing ini meraih kekayaan berganda dengan membuka perniagaan.

Peliknya,  peniaga warga asing sudah menguasai lot kedai, pasar minggu serta pasar malam, mereka juga ‘raja’ dalam perniagaan borong dan runcit malah kehidupan mereka jauh lebih senang daripada rakyat kita sendiri.

Malah persoalan bagaimanakah warga asing ini dengan begitu senang mampu mempunyai lesen perniagaan tanpa sebarang sekatan walhal rakyat Malaysia sendiri masih terkial-kial cuba berniaga atau menubuhkan syarikat?

Adakah ini berlaku kerana undang-undang kita yang sedia ada sebenarnya gagal memantau atau menyekat kehadiran mereka sehingga lubuk rezeki rakyat kita sendiri menjadi satu persoalan.

Menurut Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, David Marshel, beliau sudah lama lantang memperjuangkan isu kebanjiran warga asing bergelar peniaga dan usahawan yang sehingga belum ada penyelesaian sehingga kini.

Jelasnya, walaupun pada awalnya rata-rata warga asing ini hanya hadir sekadar makan gaji mereka kemudian mencari peluang perniagaan dengan mempergunakan rakyat tempatan untuk hidup bermewah.

“Warga asing yang datang ke Malaysia hanya untuk berkerja tapi kini mereka membuat pelbagai aktiviti perniagaan selain dari kerja, kesian pada pemilik kedai runcit rakyat Malaysia yang tertekan dengan pelbagai kos tapi warga asing tidak perlu bayar apa-apa cukai tetapi masih mampu menjalankan perniagaan runcit dan kontraktor.

“Apa yang sangat menyedihkan, rakyat kita pula bertuankan warga asing. Dengan adanya kerajaan baru ketika ini, saya mohon keluh kesah ini segera diperdengarkan. Kerajaan perlu bertindak membatalkan semua lesen kedai runcit milik warga asing.

“Kebanyakan mereka menggunakan lesen milik warga tempatan yang disewakan kepada warga asing. Semua ini harus di hentikan dengan kadar segera. Saya beri contoh, lihat sahaja Bukit Mertajam yang kini seolah-olah ‘Pekan Bangla’ tatkala ini.

“Ini yang sudah berlaku sejak sekian lama. Kalau dituduh ada unsur penyelewengan terhadap pemberian lesen atau lesen dipajakkan atau dijual kepada warga asing, tidak boleh ditolak mentah-mentah,” katanya katanya kepada Malaysia Gazette.

Jelas David yang juga merupakan Presiden Tamilar Kural Malaysia, beliau seringkali tertanya-tanya bagaimana warga asing ini dibenar menubuhkan syarikat dan berniaga tanpa sebarang sekatan serta pemantauan pihak berkuasa.

“Sehingga hari ini begitu banyak peniaga warga asing sekarang malah seperti cenawan tumbuh sana sini, ini sekaligus menunjukkan pihak berkuasa gagal bertindak terhadap golongan itu. Ini menimbulkan persepsi negatif rakyat, termasuk tanggapan berlaku rasuah dalam melindungi peniaga asing itu.

“Tetapi agak pelik juga, mustahil penguat kuasa kita tidak nampak kelibat peniaga warga asing di kawasan mereka, kecuali jika mereka telah diberi suapan supaya tidak mengambil tindakan atau membutakan mata terhadap kehadiran peniaga warga asing ini.

“Isu lambakan pekerjaan pekerja asing dalam sektor pekerjaan sudah tidak diperkatakan lagi kerana seakan sukar dibendung. Meskipun data kerajaan pada 2017 menunjukkan ada penurunan ketara pekerja asing yang datang secara sah, angka pekerja berstatus PATI tidak diketahui secara tepat.

“Selain masalah penguatkuasaan, sikap orang kita sendiri menjadi punca bilangan premis perniagaan warga asing bercambah dengan cepat. Orang kita tidak sama dengan warga asing, lebih suka wang segera, cukuplah disewakan lesen dan permit tanpa perlu bekerja keras. Kerajaan perlu prihatin dan ambil serius isu ini. Jangan biarkan negara kita di kuasai orang asing,” ujarnya.- MalaysiaGazette