FGV

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM26.22 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac lalu.

Ia merupakan peningkatan ketara berbanding kerugian RM32.26 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu, kata FGV.

Prestasi yang memberangsangkan ini disokong oleh peningkatan produktiviti dan
sumbangan yang lebih baik daripada sektor gula serta logistik dan perniagaan sokongan (LSB).

Keuntungan selepas cukai FGV meningkat daripada kerugian RM32.20 juta dalam suku pertama 2017 kepada RM8.47 juta bagi pada suku pertama tahun ini.

Bagaimanapun, perolehannya menurun sebanyak 17 peratus kepada RM3.6 bilion berbanding RM4.3 bilion.

Sektor Gula mencatatkan keuntungan sebanyak RM22.01 juta pada suku pertama 2018, berbanding dengan kerugian sebanyak RM23.16 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya, dipacu oleh kos bahan mentah yang lebih rendah, kadar pertukaran asing yang menggalakkan dan penurunan perbelanjaan pentadbiran sebanyak 33 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

Sektor LSB mencatatkan keuntungan sebanyak RM25.36 juta pada tempoh sama berbanding dengan kerugian sebanyak RM39.50 juta pada suku tahunan sebelumnya disebabkan oleh peningkatan lebih tinggi dalam perniagaan pukal.

FGV berkata, walaupun produktiviti lebih baik dan jumlah jualan tinggi, keuntungan sektor perladangan menurun sebanyak 61.4 peratus kepada RM18.29 juta, berbanding suku tahunan yang sama sebelumnya.

Ini disebabkan oleh harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah yang dicapai sebanyak RM2,472 setiap metrik tan (MT) berbanding dengan RM3,061 setiap MT pada suku pertama 2017.

Katanya, sektor itu merekodkan peningkatan yang ketara dalam prestasi operasi, dengan kenaikan masing-masing sebanyak 18.4 peratus dan 23 peratus dalam pengeluaran MSM dan pengeluaran buah tandan segar (BTS). – MalaysiaGazette