Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (empat kiri) mendatangani plak kempen sokong peniaga pembayar zakat sambil diperhatikan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (empat kanan) pada Majlis Iftar Presma dan PPIM di Masjid Ar Rahah, Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 29 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata pertubuhan itu menyokong kerajaan yang memerintah dan mahu melihat segala yang dijanjikan kepada rakyat ditunaikan.

Jelas Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, biarpun pertubuhan itu tidak menyokong mana-mana parti politik namun mereka tetap penyokong kerajaan yang memerintah dan hormat akan keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

“Kita neutral, tapi kita sokong kerajaan yang memerintah. Setakat ini semuanya berjalan lancar, ” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa Presma dan PPIM di Masjid Ar-Rahah di ibu negara.

Menurut Nadzim, sokongan itu dilihat apabila kerajaan PH bersungguh-sungguh untuk meringankan beban rakyat di negara ini dengan memansuhkan pelaksanana Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Kita harap kerajaan baharu dapat ‘deliver’ apa yang dijanjikan. Tidak ada sebab untuk tidak menyokong benda yang bagus. Lagipun rakyat sudah lama menanti saat ini,” katanya lagi.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bercakap pada Majlis Iftar Presma dan PPIM di Masjid Ar Rahah, Jalan Kerinchi, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 29 MEI 2018

PPIM sebelum ini antara pertubuhan yang lantang mempertahankan hak-hak pengguna dan juga dilihat sering mengkritik kerajaan.

Antaranya membantah cadangan kerajaan untuk menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).

Ia berpendapat penubuhan jabatan tersebut tidak wajar kerana sekarang sebarang bentuk pembaharuan tidak diperlukan sebaliknya kerajan hanya perlu membuat penambahbaikan. -MalaysiaGazette