Lion air
Para penumpang mengambil inisiatif terjun dari sayap pesawat Lion Air selepas tersebar kononnya ada penumpang membawa bom.

PONTIANAK – Disebabkan gurauan seorang penumpang yang mengatakan dia membawa bom di dalam beg tangannya, tujuh penumpang pesawat Lion Air JT687 dari Pontianak ke Jakarta tercedera.

Kesemua penumpang yang tercedera telah dibawa ke Rumah Sakit TNI AU bagi mendapatkan rawatan.

Dalam video yang tular ketika kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio, Kubu Raya itu menunjukkan para penumpang berada dalam keadaan panik dan bertindak terjun dari sayap pesawat untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Menurut seorang mangsa, Iyan Wijaya, dia nekad melompat dari sayap pesawat berkenaan selepas mendengar terdapat bom di dalam kapal terbang berkenaan.

“Saya sangat panik dan ikut terjun dari sayap sehingga kaki saya patah.

Saya tidak mendengar langsung siapa yang membawa bom berkenaan cuma ada penumpang lain yang panik dan mengatakan ada bom di dalam pesawat.

Ada orang membuka pintu kecemasan dan terpaksa keluar dari situ,” katanya yang cedera kaki kanan.

Menurut Pengurus Operasi lapangan terbang, Bernard Munthe, pramugari telah mengarahkan supaya pintu kecemasan dibuka namun keadaan panik dan kelam-kabut telah menyebabkan beberapa penumpang mengambil inisiatif terjun daripada pesawat.-Kompas