KUALA LUMPUR – Anak muda Johor bakal menikmati kemudahan sukan yang terbaik di negeri itu, selepas kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) merancang membangunkan Hab-Belia di seluruh daerah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Muhammad Khuzzan Abu Bakar, beliau mahu negeri itu ada kemudahan terbaik untuk golongan muda di luar dan dalam bandar menjalani semua aktiviti itu.
Katanya, perancangan itu adalah terjemahan dari idea asal dari Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, yang mahukan negeri itu mempunyai satu kemudahan anak muda beraktiviti.
“Jadi, kita ambil saranan itu untuk di seluruh daerah supaya pembangunan ini dapat dilakukan secara meluas bukan hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja.
“Sekarang kita sudah bermula di Johor Bahru dahulu iaitu di Hutan Bandar yang melibatkan kos kira-kira RM15 juta.
“Selepas itu kita akan bina di Iskandar Puteri, yang mana kelengkapan di sana akan lebih besar dan lengkap,” katanya yang dipetik dari akaun Facebook Johor Southern Tiger hari ini.
Menurut Muhammad Khuzzan, antara kemudahan disediakan di Iskandar Puteri ialah padang bola dan kompleks renang yang mampu menampung jumlah pengunjung lebih besar. – MalaysiaGazette
















