Pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus pada September nanti pasti akan menyaksikan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan semula.
Pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus pada September nanti pasti akan menyaksikan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan semula. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) semata-mata tidak akan menyelesaikan kenaikan kos sara hidup rakyat tanpa satu mekanisme jangka panjang.

Ini kerana, pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus pada September nanti pasti akan menyaksikan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan semula.

Logiknya, tidak ada mana-mana pengilang pun yang bersedia menanggung kos SST bersendirian tanpa melepaskan kepada pengguna.

Sehubungan itu, tokoh pengguna, Prof. Datuk Dr Hamdan Adnan berkata, kerajaan perlu ada pelan jangka panjang jika mahu menangani isu kos sara hidup dengan betul.

“Mungkin tanpa GST selama tiga bulan ini rakyat akan lega sedikit tetapi apa jadi selepas tiga bulan nanti.

“Saya bercakap begini kerana masalah kenaikan harga bukan benda baru, dulu pun kita pernah mengalami masalah kenaikan harga barang sebelum wujudnya GST.

“Sebenarnya lagi banyak barang yang diimport, kenaikan harga memang tidak dapat dielakkan sebab ia ditentukan oleh pasaran.

“Cuma, untuk membendung sikap peniaga yang lintah darat, kerajaan perlu melakukan tindakan berkesan, konsisten dan jangka panjang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mulai esok sistem GST dikenakan sifar peratus sebelum digantikan semula dengan SST pada September ini.

Hamdan turut mempersoalkan bagaimana pemantauan dan ketelusan harga barangan dan perkhidmatan akan dibuat semasa pelaksanaan SST nanti tidak membebankan pengguna.

“Kalau pengilang yang jual barangan keperluan secara besar-besaran mungkin mereka tidak ambil banyak SST yang diserapkan kepada pengguna. Bagaimana jika pengilang yang mengeluarkan barangan yang bukan keperluan ramai.

“Dan, bagaimana hendak dipastikan tidak ada pengilang, pemborong dan peruncit betul-betul patuh sifar SST dan bukan mencampurkan GST dan SST untuk raih keuntungan?.

“Saya harap benda-benda yang remeh ini dilihat secara teliti. Saya sokong kalau kerajaan mahu menangani isu pengguna tetapi buatlah dengan serius,” tambah penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Beliau berharap, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menimbang untuk mewujudkan Suruhanjaya Pengguna yang mempunyai kuasa bertindak dalam aspek penguatkuasaan dalam membendung isu ini.

Isu pengguna dan kos sara hidup ini cukup luas, kata Hamdan, lantas ia memerlukan satu badan yang fokus untuk memantaunya secara berterusan. – MalaysiaGazette