Muhyiddin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyampaikan sumbangan kepada adik Mohammad Hakimi Ashraf Hasmizun (kiri) pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Ramadan di Masjid Jabatan Penjara Malaysia Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 31 MEI 2018

KAJANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mendapatkan bantuan polis Indonesia untuk menangkap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang dipercayai melarikan diri ke negara itu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memastikan Jamal dibawa pulang ke negara ini untuk tindakan selanjutnya.

“Apa nak berlindung apa, dia tahu dia buat salah, lepas itu dia lari, saya sedang minta ketua polis negara untuk memburu beliau.

“Katanya dia berada di Indonesia, jadi kita akan minta kerjasama dari pihak polis di sana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas solat tarawih di Masjid Jabatan Penjara Kajang di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut Muhyiddin menegaskan, kes Jamal akan diserahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan yang sesuai dengan kesalahan yang telah dilakukan.

Katanya, ia terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang langkah terhadapnya menerusi peruntukan undang-undang yang ada.

Pada Jumaat lalu, polis meminta Jamal menyerah diri bagi menyelesaikan urusan yang tergendala.

Bagaimanapun, Jamal tidak berbuat demikian sebaliknya beliau menghantar rakaman kepada pihak media meminta kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, selepas lebih daripada 34 jam menghilangkan diri.

Dalam rakaman itu, Jamal menafikan melarikan diri dari hospital semasa keluar ketika prosiding ikat jamin mahkamah, malah menganggap kejadian itu berlaku kerana salah faham.

Jamal mendakwa bergegas meninggalkan kawasan hospital itu pada Jumaat lalu kerana pergi ke Tabung Haji disebabkan anggapannya tempoh tahanan reman telah berakhir.-

Terdahulu, Muhyiddin meraikan warga Kementerian Dalam Negeri pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Bulan Ramadan sereta majlis berbuka puasa kementerian itu.

Turut diadakan program tazkirah, pendengaran bacaan ayat-ayat suci al-Quran serta sumbangan pihak kementerian kepada beberapa buah surau. – MalaysiaGazette