Pembatalan rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura oleh kerajaan Pakatan Harapan telah mencetuskan perdebatan hangat.
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Sektor pembinaan kekal dalam ‘berhati-hati’ selepas kerajaan membatalkan projek-projek rel yang bernilai RM100 bilion.

Projek-projek itu termasuk Keretapi Laju (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dan MRT3 melalui Greater KL.

CIMB Equities Reseacrh dalam nota penyelidikannya berkata, dengan pembatalan dua projek tersebut, ia menimbulkan kebimbangan terhadap projek Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion hingga RM60 bilion dan projek rel berkembar Gemas-Johor Bahru berjumlah RM9.4 bilion.

Kontrak itu telah dianugerahkan kepada kontraktor dari China.

Manakala ECRL masih lagi dalam rundingan dengan skop kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) telah dianugerah dan dalam proses.

Bagi projek Gemas-Johor Bahru pula, syarikat kerjasama YTL-SIPP pula sedang menunggu surat anugerah rasmi.

“”Kami percaya projek in (ECRL dan Gemas-Johor Bahru) kini dalam risiko untuk ditunda atau rundingan semula atau dibatalkan,” kata firma penyelidikan itu.

Katanya, kemungkinan projek Sistem Transit Rapid yang menghubungkan Johor Bahru -Singapura sejauh 4 kilometer akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Projek itu dimiliki oleh Prasarana Malaysia Berhad dan SMRT Corporation Limited.

Pembatalan projek-projek ini memberi kesan kepada Gamuda, MMC, dan George Kent – mana-mana kontrak yang terdedah kepada sektor rel dengan sentimen negatif.

Selain itu, ia juga memberi kesan kepada tinjauan bagi kerja-kerja rel untuk WCT Holdings, Sunway Construction Group (SunCon), Gabungan AQRS dan MRCB. – MalaysiaGazette