Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari

KUALA LUMPUR – Kerajaan DAP Pulau Pinang meminta kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) mengutamakan dan menyegerakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek itu sudah lama dirancang iaitu sejak Rancangan Malaysia Ke-tujuh (RMK-7) lagi.

Bagaimanapun, kata beliau, projek itu tergendala setelah fasa satu disiapkan pada 1999 menyebabkan tidak ada kemajuan fizikal berlaku, walaupun dijanjikan berkali-kali.

“Minggu lepas, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Exco) dalam mesyuarat terbaharunya telah memutuskan agar satu permohonan dibuat kepada kerajaan Persekutuan PH untuk memberi keutamaan kepada projek RTB ini.

“Pada November 2016, kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) telah bersetuju untuk memperuntukkan kira-kira RM150 juta bagi projek tersebut, merangkumi kerja memperdalam sungai dan mitigasi banjir sepanjang 3.2 kilometer Sungai Pinang serta cabang-cabangnya, tetapi sehingga kini, peruntukan itu belum diberi,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga berkata, ketika lawatan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negeri itu berikutan banjir besar pada November 2017, turut mengulangi janjinya.

Susulan kepada itu, katanya, projek RTB berkenaan telah ditenderkan secara terhad oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Perolehan Tender di peringkat Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 20 Februari lalu.

“Bagaimanapun, sekali lagi tiada sebarang kelulusan diterima daripada pihak Persekutuan.

“Sejak 2008, kerajaan Pulau Pinang telah membuat banyak permintaan kepada kerajaan Persekutuan agar projek ini dapat disempurnakan memandangkan ia adalah salah satu punca utama banjir kilat di bahagian pulau.

“Sekiranya dilaksanakan, projek ini dijangkakan dapat mengurangkan penderitaan rakyat Pulau Pinang, khususnya penduduk DUN Datok Keramat yang terpaksa menderita setiap kali dilanda banjir kilat,” katanya.

Justeru, kata Zairil, sepertimana yang diputuskan oleh mesyuarat Exco, beliau akan mengemukakan permohonan bertulis kepada Kementerian Kewangan agar projek RTB Lembangan Sungai Pinang itu dapat diberi keutamaan dan dilaksanakan secepat mungkin. – MalaysiaGazette