Syefura Othman
Syefura Othman

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Syefura Othman masih tidak lupa tarikh 23 Mac 2015 yang mengajarnya mengenali erti hidup dalam lokap polis walaupun sehari.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Rara bersama 79 yang lain ditahan polis kerana terlibat dalam himpunan haram duduk bantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya, Petaling Jaya.

“Hari ini (31 Mei) hari last (akhir) untuk GST. Teringat kena (masuk) lokap dulu sebab demo (demonstrasi) bantah GST.

“Rasa berbaloilah kot (masuk lokap),” katanya yang dipetik dari akaun Twitternya semalam mengulas berhubung keputusan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) mensifarkan GST berkuatkuasa hari ini.

Rara yang bertanding atas tiket DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu menang dengan majoriti 3,710 undi setelah mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, Goonasakaren Raman, calon Pas Mohd Khairuddin Abdullah dan calon Bebas, Karunaneethi Thangavel.

Dalam pertandingan empat penjuru itu, Rara memperoleh 9,873 undi, manakala lawannya dari BN mendapat 3,879 undi, Pas (1,308) dan Bebas (145).

Pada 16 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya telah mengarahkan kerajaan pimpinannya supaya menghentikan kutipan GST dan menetapkan harga oetrol.

Serentak itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa berkuatkuasa 1 Jun 2018, cukai GST yang dikenakan pada kadar 6 peratus akan dikurangkan pada kadar 0 peratus dan terpakai di seluruh negara sehingga dimaklumkan kelak. – MalaysiaGazette