Tourism Malaysia
Tourism Malaysia

PUTRAJAYA – Tourism Malaysia menafikan dakwaan bekas pengerusinya Wee Choo Keong bahawa kontrak promosi bagi projek Pelancongan Pintar dibuat tanpa menepati peraturan perolehan Kementerian Pelancongan.

Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr Siew Ka Wei berkata, lembaga itu menandatangani kontrak dengan Tencent Group, syarikat internet dan digital terbesar di China yang mempunyai capaian kepada 980 juta rakyat China, bagi meningkatkan angka ketibaan pelancong di negara ini.

Beliau berkata, semua dokumen ditandatangani bagi inisiatif pemasaran digital itu dibuat dengan cara jelas dan telus mengikut prosedur pentadbiran.

“Salinan ditunjukkan dalam blog Wee bukanlah kontrak sebenar ditandatangani dengan Tencent Group. Ia salinan draf cadangan dan Tourism Malaysia mengeluarkan dokumen lain yang melindungi kepentingan lembaga dan negara.

“Perjanjian muktamad ditandatangani menggunakan dokumen dikeluarkan Tourism Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wee dalam catatan blognya hari ini melabelkan perjanjian bernilai RM99 juta itu, yang ditandatangani sebuah syarikat tempatan yang bertindak sebagai penghubung di antara Tourism Malaysia dan Tencent Group untuk mempromosikan Malaysia di platform media sosial, sebagai “kontrak Speedy Gonzales (amat pantas)”.

Beliau mendakwa perjanjian itu dibuat tanpa mematuhi peraturan perolehan kementerian berkenaan dan dilakukan secara tergesa-gesa tanpa diteliti sewajarnya.

Siew berkata, Geeko Technology adalah rakan kongsi tempatan yang dipilih Tencent untuk melaksanakan projek itu di sini.

“Kumpulan Tencent mengenali pegawai utamanya. Pemilihan Geeko sebagai penghubung khas projek itu telah dibuat oleh Tencent,” katanya.

Siew berkata, Tourism Malaysia mempertahan tindakannya itu dan menegaskan bahawa ia dibuat mengikut prosedur betul dengan penuh telus dan integriti.

“Kami mengalu-alukan mana-mana pihak berkuasa mahu menyiasat dakwaan itu,” katanya.

Namun, Tourism Malaysia meminta penyebaran dakwaan itu dihentikan dan ditarik balik dengan serta merta kerana ia boleh menjejaskan projek Pelancongan Pintar dan mengakibatkan kerugian dalam ekonomi pelancongan, kata Siew. – MalaysiaGazette