Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail (tengah) bercakap kepada media semasa membuat demonstrasi aman menentang pembinaan kondominium dan menuntut padang bola sepak di Jalan Jujur, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 penduduk setempat berkumpul di Jalan Jujur, Bandar Tun Razak hari ini bagi mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghentikan segera projek kondo mewah disitu selepas bertukarnya kerajaan baharu.

Ini bukan kali pertama penduduk mendesak projek itu dihentikan tapi tidak dihiraukan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu dan ia diteruskan walaupun mendapat bantahan.

Ketua Bahagian PPBM Bandar Tun Razak, Mohd. Shahni Ismail berkata, mereka dimaklumkan semua projek melibatkan tanah DBKL sudah dihentikan bagaimanapun projek di kawasan mereka itu tidak menghiraukan arahan tersebut.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail bercakap kepada media semasa membuat demonstrasi aman menentang pembinaan kondominium dan menuntut padang bola sepak di Jalan Jujur, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 JUN 2018

“Projek ini perlu dihentikan, pada 16 Mei lepas kami dimaklumkan dalam satu mesyuarat tapi nampaknya projek ini masih berjalan.

“Macam ada tangan ghaib, kami ingatkan Datuk Bandar dan DBKL bahawa mereka perlu mengikuti aspirasi kerajaan hari ini yang dipilih oleh rakyat,” kata beliau semasa ditemui ketika mengetuai himpunan bersama penduduk setempat tadi.

Projek perumahan tersebut yang dinamakan Razakmas Residency bakal dibangunkan oleh syarikat pemaju tempatan, Aset Kayamas Sdn. Bhd.

Razakmas Residency menawarkan kondominium 41 tingkat yang berharga RM198,000 setiap unit.

DBKL dilaporkan memperolehi tanah seluas 2.1 hektar tersebut sebelum menjualnya kepada Aset Kayamas Sdn. Bhd.

Penduduk Bandar Tun Razak yang telah menggunakan padang tersebut sejak 40 tahun lepas ternyata kecewa dengan keputusan DBKL yang tidak menghiraukan rayuan mereka. – MalaysiaGazette