Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memeriksa perbarisan kawalan kehormat Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa Lawatan Kerja Menteri Dalam Negeri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 04 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Penceramah Kontroversi Zakir Naik akan berdepan tindakan sekiranya didapati melanggar undang-undang Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Muhyiddin bagaimanapun tidak mengulas mengenai pendirian kerajaan sama ada individu itu yang kini berada di negara ini akan diberi perlindungan atau sebaliknya.

“Saya rasa kita perlu pandang perkara ini dalam aspek yang mana sama ada dia (Zakir) seorang warganegara atau tidak, masih tertakhluk kepada undang-undang negara.

“Jika dia melanggar undang-undang, maka kita akan bertindak mengikut lunas undang-undang yang diperuntukkan negara,” katanya dalam sidang media khas bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di Bukit Aman hari ini.

Dalam mesyuarat itu beliau membincangkan tentang keselamatan negara dengan mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di setiap Jabatan bagi menentukan keberkesanan PDRM itu selain mengekalkan integriti dalam mengurangkan jenayah di negara ini.

Beliau juga menyatakan keyakinan dan meminta komitmen polis untuk bekerja keras mengurangkan jenayah sebagai usaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa itu walaupun tidak ada peruntukan kewangan atau kemudahan logistik yang besar.

Menyentuh lagi mengenai Zakir Naik, katanya beliau telah dimaklumkan bahawa Zakir diberikan status pemastautin tetap oleh kerajaan terdahulu yang diperintah Barisan Nasional (BN).

“Namun, jika dia pegang status pemastautin tetap negara ini pun, masih tertakhluk dengan undang-undang negara dan tidak boleh lari daripada tindakan jika didapati bersalah.

“Kalau dia didapati bertindak bertentangan dengan undang-undang negara dalam isu agama, perlakuan jenayahnya tidak boleh terlepas dari tindakan berat,” ujar beliau.

Zakir mencari perlindungan di negara ini setelah Biro Siasatan Pusat (CBI) India mengeluarkan waran tangkap ke atas penceramah itu dalam kes siasatan berkaitan isu keganasan.

Arahan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi supaya pihak berkuasa negara itu segera menahan Zakir.

Minggu lalu Narendra Modi mengadakan lawatan kerja sehari ke negara ini untuk bertemu rakan sejawat di Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas dilantik sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette