KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan berundur sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Kata beliau, ketika itu, Dr. Wan Azizah tidak lagi meneruskan perkhidmatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan akan berundur dari jawatan kerajaan.
“Sebaik saya ambil alih (jawatan) Perdana Menteri, (Dr Wan) Azizah akan berundur dan Azizah bukan nak meneruskan (tugasan sebagai Timbalan Perdana Menteri),” katanya pada program Terus Terang Khas Anwar Ibrahim anjuran Invoke Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Rafizi Ramli hari ini.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, sebaik Pakatan Harapan (PH) menang dan berjaya membentuk kerajaan Persekutuan, Dr Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Manifesto PH pula menyatakan beliau akan menggantikan tempat Dr Mahathir.
Dari situ ujarnya, pelbagai tohmahan kedengaran dengan mengatakan isterinya dijadikan boneka kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir sebelum menunggu gilirannya untuk menerajui kerajaan Persekutuan.
“Tuduhan Dr Wan Azizah boneka hanya tohmahan. Tak apalah, itu persepsi mereka. Dr Wan Azizah aktif dalam politik selepas saya dipenjarakan tahun 2000.
“Dia tak perlu nak buktikan apa-apa atas tuduhan pihak tertentu itu, boneka ke apa ke… yang penting khidmatnya dalam parti dapat bertahan, walaupun dalam keadaan saya dipenjara,” katanya.
Kata Anwar, beliau langsung tidak ada masalah kalau ada yang menuduh isterinya sebagai boneka.
“Sekarang pun orang perli saya, Anwar ni apa? (Jadi) pengiring Wan Azizah ke? Saya tahu mereka hanya bergurau dan saya tidak berasa tertekan pun tengok isteri saya berbicara soal negara dengan rakan sejawatan di negara luar.
“Saya tidak berasa terpinggir pun. Saya terima hakikat ini dan kenapa saya perlu ego?” katanya.
Ditanya mengenai giliran beliau yang akan menjadi Perdana Menteri, Anwar berkata, beliau tahu namanya dicalonkan sebagai pengganti dan itu adalah sebagaimana yang terkandung dalam manifesto PH. – MalaysiaGazette
















