Zeti
Jawatankuasa Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tiba pada Menara Ilham untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan yang terletaknya di Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Kaedah bagi mengawal harga barangan di pasaran akan diperkenalkan dalam masa terdekat bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Perkara itu yang didedahkan oleh Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz selepas menghadiri mesyuarat harian di Menara Ilham di Jalan Binjai sebentar tadi.

Jelas Zeti, mekanisme itu juga selaras dengan pelaksanaan sifar GST mulai 1 Jun lepas sebelum mengembalikan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada September depan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Satu alternatif atau mekanisme akan diperkenalkan agar apa yang kita laksanakan mendapat manfaat kepada rakyat. Itu yang menjadi keutamaan dan kepentingan kita.

“Pengumuman akan dibuat tetapi saya tidak pasti bila tarikh serta butiran mekanisme tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat tersebut.

Tambah Zeti, Tun Daim Zainuddin yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan itu dijangka membuat pengumuman tentang beberapa perkara lain yang berkaitan dengan mesyuarat tersebut tidak lama lagi.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berikrar mahu langkah-langkah penguatkuasaan perlu diperketatkan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai barang GST.

Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, ini kerana keputusan kerajaan itu secara dasarnya akan menurunkan harga barang sedia ada dan pihak berkuasa perlu memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan dalam situasi berkenaan.

Bagaimanapun katanya, daripada segi inflasi, BNM akan membuat semakan semula jika perlu memandangkan bank pusat membuat unjuran kadar inflasi bagi purata antara dua hingga tiga peratus tahun ini.

GST sebelum ini dikuatkuasakan sejak tahun 2015 yang mengenakan kadar enam peratus.

Kerajaan Pakatan Harapan yang memenangi PRU-14 berhasrat untuk mengembalikan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Cukai itu berbeza dengan SST kerana levinya dikenakan di semua peringkat rantaian bekalan, bermaksud pengilang dan pembekal juga perlu membayar cukai ke atas barangan yang dihasilkan.

Ia juga dikenakan pada kadar rata berbanding kadar berubah-ubah bagi SST yang menjadikannya lebih mudah dan cekap untuk diuruskan. – MalaysiaGazette