PUTRAJAYA – Perkarangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  hari ini sesak dengan pengamal media yang membuat liputan kehadiran isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk memberi keterangan.

Hampir 100 wartawan daripada pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa memenuhi perkarangan pintu masuk bangunan SPRM.

Para petugas media terpaksa melalui sesi saringan di pintu masuk utama dengan menjalani beberapa pemeriksaan badan sebelum boleh memasuki perkarangan bangunan badan siasatan itu.

Hanya media yang mempunyai kad perakuan media sahaja dibenarkan masuk.

SPRM hari ini memanggil Rosmah untuk siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan beliau dijangka hadir ke SPRM jam 11 pagi ini.

SPRM pada Jumaat lalu berkata badan itu telah mengarahkan kehadiran beliau bagi membantu siasatan berhubung kes bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Arahan itu bagi mendapatkan keterangan Rosmah berhubung siasatan SPRM terhadap syarikat berkenaan.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast