Muhyiddin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar sebelum sesi taklimat bersama Ketua-Ketua Jabatan Imigresen Malaysia di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Presint 3, Putrajaya. Turut bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali. foto AFIQ RAZALI, 05 JUN 2018

PUTRAJAYA – “Jika ada laporan dibuat, kita akan siasat. Sesiapa sahaja tidak kira siapa, termasuk (bekas) Peguam Negara (Tan Sri Apandi Ali),” tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap kepada pemberita di Bilik Taklimat Jabatan Imigresen Malaysia di sini, hari ini, beliau berkata, siasatan itu adalah untuk melihat sama ada wujud prima facie atau tidak berhubung beberapa kes termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengenai pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara menggantikan Apandi, beliau secara ringkas menjawab, bersetuju.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan peguam kanan, Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilaporkan berkata, atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette