Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap pada sidang media mengenai hutang RM1 Trillion di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mendedahkan satu lagi skandal membabitkan transaksi mencurigakan bernilai RM8.3 bilion yang dipercayai mempunyai hubungan dengan SRC International dan Jho Low.

Transaksi tersebut membabitkan pembayaran 88 peratus untuk kerja-kerja dua projek saluran paip petroleum daripada jumlah keseluruhan bernilai RM9.4 bilion sedangkan kerja yang telah disiapkan hanya 13 peratus sahaja.

Sebahagian daripada pembayaran itu dilakukan dalam ringgit manakala bakinya dilakukan dalam mata wang China, Yuan.

Projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) itu diberikan kepada anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) yang ditubuhkan pada 19 Mei 2016 untuk tujuan menjalankan kedua-dua projek berasingan itu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, semasa taklimat yang diadakan pada 28 Mei lalu, SSER telah melaporkan kepada pegawai-pegawai Penbendaharaan bahawa kerja bermula pada April 2017 dan ia akan memakan masa tiga tahun untuk siap.

Katanya, Perbendaharaan juga diberitahu syarikat bahawa hanya 14.5 peratus kerja bagi MPP dan 11.4 peratus kerja bagi TSGP sudah siap pada akhir bulan Mac 2018, iaitu setahun selepas permulaan projek dan kemajuan kerja yang dilaporkan itu belum lagi diaudit ataupun disahkan.

“Walau bagaimanapun, RM4.71 bilion telah dibayar kepada CPPB untuk projek
MPP dan RM3.54 bilion untuk projek TSGP. Ini adalah satu yang memeranjatkan kami di Perbendaharaan.

“Jumlah sudah dibayar RM8.25 bilion merupakan 87.7 peratus daripada nilai keseluruhan projek. Ini perlu dibandingkan dengan purata kemajuan kerja 13 peratus di mana projek ini perlu disiapkan dalam masa dua tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Guan Eng, beliau dimaklumkan hampir keseluruhan jadual pembayaran bagi kedua-dua kontrak berdasarkan ‘timeline milestone’ (pencapaian masa) dan bukannya berdasarkan kemajuan kerja yang progressif (progressive work completion milestones).

Katanya, memburukkan keadaan, 85 peratus daripada nilai projek-projek ini perlu dibayar pada 1 Mac 2018.

“Pembayaran ini belum lagi mengambil kira dua penjanjian konsultansi yang masing-masing bernilai RM312 juta dan RM213 juta, serta satu perjanjian penyelenggaraan RM476 juta yang diberikan kepada syarikat-syarikat daripada negara China. Ini merupakan tambahan kos sebanyak RM1 billion,” jelasnya.

Tambah beliau, kontrak-kontrak telah dirunding oleh Jabatan Perdana Menteri tanpa penglibatan Perbendaharaan.

Katanya, Jabatan Peguam Negara juga telah menyatakan kontrak-kontrak ini telah ditandatangani tanpa mengira pelbagai soalan dan amaran yang ditimbulkan oleh pegawai-pegawai perundangan kerajaan persekutuan.

Projek MPP melibatkan pembinaan 600 kilometer saluran paip petroleum pelbagai produk yang menghubungkan Jitra dengan Melaka dan Port Dickson yang dianggarkan bernilai RM5.35 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.53 bilion dibayar di dalam ringgit manakala yang lain dibayar di dalam matawang negara China, CNY4.53 bilion.

Projek TSGP pula melibatkan pembinaan 662 kilometer saluran paip gas yang
menghubungkan Terminal Gas Kimanis dengan Sandakan dan Tawau.

Kos projek it dianggarkan bernilai RM4.06 bilion. Daripada jumlah ini, RM2.14 bilion dibayar dalam ringgit manakala yang lain dibayar di dalam CNY3.08 bilion.

Kontrak bagi kedua-dua projek ini yang bernilai RM9.41 bilion itu telah diberikan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) pada 1 November 2016 dan perjanjian-perjanjian yang berkaitan telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Penbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar, yang juga Pengerusi SSER.

Irwan meletakkan jawatan pada 23 Mei 2018.

SSER telah mendapatkan pinjaman sebanyak 85 peratus daripada nilai projek seperti yang ditetapkan pada 22 Mac 2017 daripada China EXIM Bank.

Mengikut rancangan syarikat, baki 15 peratus akan dibiayai melalui terbitan sukuk. Kedua-dua pinjaman dan sukuk ini dijamin oleh kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Guan Eng berkata, beliau dimaklumkan oleh pegawai Perbendaharaan bahawa SSER berkait rapat dengan orang yang sama di belakang SRC International, yang sebelum ini merupakan satu anak syarikat 1MDB.

“Nama penuh SRC sendiri adalah Strategic Resources Corporation, hampir sama dengan SSER.

“Kontrak-kontrak SSER ini juga telah ditandatangani oleh Tan Sri Irwan pada masa yang sama dengan kontrak Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link) yang juga dibiayai dengan pinjaman daripada China EXIM Bank.

“Presiden SSER adalah Datuk Mohammed Azhar bin Osman Khairuddin yang juga
ahli lembaga pengarah syarikat. Beliau juga adalah ahli lembaga pengarah bagi Putrajaya Perdana Sdn Bhd, satu syarikat yang mempunyai kaitan langsung dengan Encik Low Taek Jho,” katanya.

Guan Eng berkata, berdasarkan transaksi yang mencurigakan itu beliau telah mengarahkan pegawainya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada minggu lalu.

Katanya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ditelah dimaklumkan mengenai skandal itu.

Tambah beliau, Kementerian Kewangan yang merupakan satu-satunya pemilik SSER akan
mengambil langkah untuk mengambil alih pejabat syarikat tersebut sementara menunggu siasatan.

“Lembaga Pengarah syarikat dan terutamanya Tan Sri Irwan Serigar mesti
menyatakan kepada SSER telah menandatangani satu perjanjian yang terlampau berat sebelah yang akhirnya mengugat kepentingan rakyat dan kerajaan Malaysia.

“Saya juga ingin menjemput bekas Perdana Menteri yang juga bekas Menteri
Kewangan untuk menerangkan mengapa dan bagaimana transaksi-transaksi
berkaitan SSER dibenarkan beliau. Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini aktif di laman Facebooknya,” tambah beliau.

Guan Eng berkata, sekiranya perlu, kerajaan akan mendapatkan bantuan kerajaan China untuk menjejak kembali pengaliran tunai di negara China bagi menyiasat kebarangkalian berlakunya pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette