Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam kenyataan, MITI berkata eksport pada bulan tersebut mencatatkan peningkatan yang kukuh sebanyak 14 peratus tahun ke tahun kepada RM84.24 bilion, merupakan nilai eksport bulanan kedua tertinggi selepas RM84.47 bilion dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Pertumbuhan itu disokong terutamanya oleh peningkatan eksport ke Hong Kong, ASEAN, China, Kesatuan Eropah, Taiwan, Bangladesh dan Korea Selatan.

“Import berkembang sebanyak 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM71.17 bilion. Lebihan dagangan berjumlah RM13.07 bilion, merupakan lebihan dagangan ke-246 bulan berturut-turut sejak November 1997,” katanya.

Katanya jumlah perdagangan bagi empat bulan pertama tahun ini berjumlah RM597.3 bilion, naik 4.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, manakala eksport berkembang 7.8 peratus kepada RM321.87 bilion dan import meningkat 1.6 peratus kepada RM275.43 bilion.

Setakat ini pada tahun ini, lebihan dagangan melonjak sebanyak 68.7 peratus kepada RM46.44 bilion berbanding tempoh sama pada 2017.

Pada bulan tersebut, eksport barangan perkilangan meningkat 16.8 peratus tahun ke tahun kepada RM70.54 bilion, merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan eksport elektrik dan elektronik (E & E).

Eksport hasil galian naik 4.2 peratus kepada RM6.76 bilion, merangkumi lapan peratus daripada jumlah eksport Malaysia, disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport petroleum mentah.

Eksport keluaran pertanian, yang merangkumi 7.1 peratus daripada jumlah eksport, menguncup 4.8 peratus kepada RM6.01 bilion berikutan pengurangan eksport getah asli.

Mengenai prestasi pasaran utama, MITI berkata perdagangan dengan ASEAN meningkat 11 peratus tahun ke tahun kepada RM41.39 bilion, merangkumi 26.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

“Eksport berjumlah RM23.89 bilion, naik 13.6 peratus, didorong oleh eksport yang lebih tinggi bagi kelengkapan pengangkutan, produk petroleum dan barangan E&E. Import dari ASEAN berkembang 7.7 peratus kepada RM17.49 bilion,” katanya.

MITI berkata import barang pengantara, bernilai 47.5 peratus daripada jumlah import, berkurangan sebanyak 11.9 peratus susulan penurunan import alat ganti dan aksesori barang modal (kecuali kelengkapan pengangkutan) terutamanya jentera elektrik, kelengkapan dan alat ganti.

Import barang modal, bernilai 11.8 peratus daripada jumlah import, naik 4.8 peratus didorong oleh import yang lebih tinggi bagi kelengkapan pengangkutan untuk tujuan industri, khususnya kapal terbang dan alat ganti.

Barang penggunaan, bernilai 7.8 peratus daripada jumlah import, susut 1.8 peratus, hasil pengurangan import bahan separa tahan lama terutamanya artikel plastik.

— BERNAMA