Syed Rosli Jamalullail
Syed Rosli Jamalullail

KUALA LUMPUR – Sikap sesetengah pemimpin UMNO veteran yang sudah berumur tetapi kemaruk kuasa punca UMNO tidak diminati golongan muda.

Walaupun UMNO kini sudah kehilangan kuasa namun masih ada segelintir pemimpin akar umbi parti itu masih belum berubah.

Itu perkara yang dikesali Ketua Penerangan UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Jamalulail Syed Harman yang mendakwa disekat ekoran pemimpin lama dikawasan itu enggan lepas jawatan kepada generasi muda.

“Mereka (pemimpin veteran) fizikal sudah tua dan sering sakit-sakit namun masih mahu memegang jawatan dalam keadaan UMNO sekarang yang memerlukan tenaga orang muda demi survival parti,” ujarnya.

Malah beliau mendakwa pemimpin cawangan itu juga mengadakan mesyuarat cawangan tidak mengikut perlembagaan parti dengan mengenepikan jawatankuasa lama dan tidak memanggil mesyuarat.

Syed Rosli mendakwa terkejut apabila melihat minit mesyuarat parti yang mengubah hampir keseluruhan jawatankuasa termasuk namanya tanpa persetujuan mereka.

Beliau berkata, namanya juga turut digugurkan daripada jawatan ketua penerangan dan digantikan dengan orang lain tanpa pengetahuannya.

“Saya terkejut dengan tindakan pemimpin diperingkat cawangan masih enggan melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada generasi muda dan sanggup mengetepikan jawatankuasa yang dipilih pada 2013.

“Malah saya dan jawatankuasa lain pun tidak tahu bila mesyuarat diadakan untuk melantik jawatankuasa yang baharu sebelum Persidangan Tahunan Cawangan diadakan pada 3 Jun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sebelum itu, Syed Rosli bersma beberapa ahli UMNO lain menghantar surat bantahan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung perkara yang sama.

Menurut beliau, bantahan itu dilakukan untuk memohon pimpinan pusat UMNO membatalkan mesyuarat Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka kerana pelantikan jawatankuasa yang tidak sah.

Tambah Syed Rosli, beliau memohon kepada pimpinan pusat supaya mengarahkan mesyuarat di cawangannya itu diadakan semula dengan menggunakan jawatankuasa yang dipilih dalam persidangan pada tahun 2013.

Syed Rosli juga mempertikaikan mesyuarat pada 3 Jun itu yang diadakan di dalam rumah calon Ketua Cawangan dan dipercayai melanggar peraturan mesyuarat.- MalaysiaGazette