KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti beberapa akaun media sosial dan individu berkaitan susulan video tular melibatkan pementasan yang didakwa mengandungi kandungan yang menyentuh institusi Raja, Malaysia serta Rukun Negara.
MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, ia bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Selain itu, katanya, MCMC turut bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melengkapkan siasatan, termasuk berkaitan bukti digital.
Terdahulu, ujarnya, MCMC telah menerima aduan berhubung sebuah video pementasan itu dan semakan mendapati, rakaman tersebut berasal daripada sebuah pementasan pada tahun 2018 yang kini kembali disebarkan di media sosial.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan mengenai individu yang dikaitkan dengan video tersebut bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses siasatan,” katanya.
Terdahulu, sebuah video pementasan yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara Malaysia serta Rukun Negara tular dalam media sejak semalam.
Video itu menimbulkan kemarahan banyak pihak yang mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan tindakan tegas diambil terhadap individu terlibat. – MalaysiaGazette
















