KUALA LUMPUR – Perbuatan mempersendakan Rukun Negara, agama dan institusi yang menjadi asas negara tidak boleh dinormalisasikan atas nama seni atau kebebasan bersuara.
Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kebebasan berkarya bukan lesen untuk menghina.
Malah, tegasnya, Rukun Negara bukan bahan jenaka kerana ia merupakan asas falsafah dan identiti negara, manakala agama Islam pula menuntut penghormatan sebagai agama Persekutuan.
“Kritikan boleh tajam, satira boleh berani, tetapi adab dan tanggungjawab tetap mempunyai batas. Dalam negara majmuk, kebebasan mesti berjalan seiring dengan rasa hormat.
“Kebebasan berkarya tidak pernah bererti kebebasan untuk menghina segala-galanya. Seni boleh mengkritik kerajaan, dasar, masyarakat bahkan kelemahan kita sendiri.
“Tetapi apabila Rukun Negara dijadikan bahan ejekan, institusi Raja dipersenda dan perkara berkaitan agama serta nilai keagamaan diperlakukan tanpa adab, kita sudah beralih daripada kritikan kepada tindakan yang berpotensi merosakkan asas kehidupan bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau merujuk kepada kontroversi sebuah video pementasan yang mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi raja, negara Malaysia serta Rukun Negara seperti yang tular sejak semalam.
Tambah Zainul Rijal, lebih membimbangkan apabila agama Islam turut disentuh dengan nada yang menghina atau memperlekehkan.
Katanya, dalam masyarakat majmuk, kebebasan bersuara mesti berjalan seiring dengan tanggungjawab menghormati kepercayaan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara.
“Jangan jadikan alasan “ini hanya seni”, “ini satira” atau “ini kebebasan bersuara” sebagai lesen untuk menghalalkan penghinaan,” katanya.
Sehubungan itu, tegas beliau, negara tidak sepatutnya membenarkan budaya “semuanya boleh dipersendakan” berkembang sehingga perkara yang menjadi tiang seri negara dan sensitiviti agama dianggap tidak lagi mempunyai batas.
Pada masa sama, ujarnya, siasatan perlu menentukan secara objektif apakah kesalahan yang benar-benar berlaku dan peruntukan undang-undang yang terpakai.
“Itu bukan menyekat seni; itu memastikan kebebasan mempunyai adab dan batas, sebagaimana hak sentiasa datang bersama tanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette
















