Muhammad Ibrahim
Muhammad Ibrahim

KUALA LUMPUR – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim didakwa ditawarkan untuk melepaskan jawatannya yang disandang sejak Mei 2016.

Spekulasi itu muncul kurang sebulan selepas Kerajaan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Jurucakap BNM dan Muhammad yang dihubungi enggan mengulas mengenai spekulasi tersebut, menurut laporan Bloomberg.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempersoalkan pembelian tanah daripada kerajaan terdahulu yang bernilai RM2 bilion.

Tanah yang dibeli itu akan digunakan untuk Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Antarabangsa Syariah bagi Kewangan Islam (ISRA).

Guan Eng mendakwa kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak telah menggunakan wang berkenaan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, Bank Pusat itu dalam kenyataan pula mempertahankan transaksi pembelian hartanah berkenaan.

Bank Negara Malaysia berkata, urusan pembelian tanah tersebut telah dibuat berlandaskan prinsip urus niaga telus dan dibeli pada harga wajar yang ditentukan oleh jurunilai harta tanah bebas.

Malah, urusan pembelian tanah ini mematuhi semua keperluan tadbir urus dan undang-undang berkenaan yang berkaitan dengan Bank Negara Malaysia.

Muhammad dilantik sebagai Gabenor Bank Pusat bagi mengganti Tan Sri Dr Zeti Aktar Aziz pada Mei 2016. – MalaysiaGazette