Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (kanan) bercakap pada sidang media isu pembelian rumah pertama dan PPR di Bilik Media, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Presint 4, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2018
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin (kanan) bercakap pada sidang media isu pembelian rumah pertama dan PPR di Bilik Media, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Presint 4, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 04 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Semata-mata mahu mengaut keuntungan yang lebih dan mewah, pemilik rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) bertindak menyalahgunakan kemudahan yang diberikan itu dengan menyewakan kediaman mereka kepada warga asing.

Namun penyalahgunaan itu akan dihapuskan apabila penyewa warga asing diberi masa selama tiga bulan untuk keluar daripada rumah yang mereka sewa itu.

Seandainya gagal melakukan demikian, pemilik PPR akan dikenakan tindakan undang-undang selain menarik kembali status pemilikan rumah tersebut.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, pihaknya tidak teragak-agak untuk bertindak tegas dalam perkara itu bagi mengurangkan pelbagai isu sosial berkait dengan warga asing.

“Daripada maklumat yang saya terima, rata-rata pemilik suka menyewa PPR mereka kepada warga asing kerana permintaan dan juga nilainya lebih tinggi. Tetapi yang kita tidak boleh terima bukan hanya kebanjiran dan sesak sana sini sebaliknya isu kemasyarakatan.

“Kita banyak berdepan dengan pelbagai isu berkaitan dengan warga asing, kita mahu kurangkan isu-isu ini. Tetapi bukan itu yang menjadi keutamaan kita, sebaliknya rumah PPR dibina bagi rakyat kita mengecap kemudahan perumahan.

“Itu adalah keutamaan projek PPR, namun kini ianya jauh menyimpang, yang sedang menikmati kemudahan ini adalah warga asing. Kita perlu hentikan semua ini, tindakan tegas akan di ambil oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas tempoh tiga bulan ini.

“Kita sendiri akan bertindak mengusir warga asing ini selain daripada melucutkan hak pemilikan pemilik rumah berkenaan sekiranya ingkar dengan arahan ini. Pegawai kita akan keluarkan pekeliling mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di KPKT, Putrajaya di sini hari ini.

Zuraida yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang menambah, pihaknya akan mula mengawal selia isu kadar sewa di kawasan berkenaan berikutan dakwaan warga asing membayar sewa yang tinggi berbanding rakyat tempatan.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, KPKT kini mengkaji semula pelbagai aspek perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk prosedur operasi standard sedia ada dan memberi perhatian keadaan semasa fasiliti JBPM termasuk kenderaan, pili bomba dan peralatan menyelamat.

“Kita juga akan memberi fokus kepada kebajikan anggota JBPM di seluruh Malaysia terutamanya dari segi pendidikan anak-anak anggota, kebajikan bekas anggota dan balu akan dikaji semula serta akan membincangkan isu elaun kritikal anggota yang akan diselaraskan dengan keadaan ekonomi semasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette