Dr Dzulkefly Ahmad beramah mesra bersama warga media dan orang ramai yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa Pengamal Media bersama YB Menteri Kesihatan di Art [email protected] Hall,Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 5 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Pengamal media disaran mencari mekanisme baharu dalam menjalinkan kerjasama secara berterusan untuk menyebar informasi, mendidik, memujuk, membina pengaruh dan pelbagai tanggungjawab sosial lain.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, golongan itu termasuk media baharu mesti memiliki tanggungjawab, empati dan cakna dalam setiap sajian berita, isu dan idea mengenai perkhidmatan kesihatan.

Jelas beliau, selain itu pengamal media melaporkan sesuatu isu berdasarkan fakta yang tepat dan sahih serta bukan andaian dan khabar angin.

“Walaupun pengamal media sentiasa berusaha untuk cepat mengeluarkan berita tetapi harus pastikan apa yang dilaporkan adalah fakta benar.

“Saya menyarankan pengamal media perlu mengamalkan media sihat dengan menolak unsur fitnah, mengadu domba, berbaur perkauman atau menyentuh soal sensitive seperti agama.

“Begitu juga, setiap pengamal media harus mempraktikan etika media kewartawanan berasaskan nilai murni sejagat dalam menjalankan tanggungjawab dan kewajipan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka kementeriannya di sini hari ini.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad beramah mesra bersama warga media dan orang ramai yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa Pengamal Media bersama YB Menteri Kesihatan di Art [email protected] Hall Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 5 JUN 2018

Dzulkefly menambah, ketika ini pengamal media yang berdepan  dengan era perkembangan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp agar sentiasa peka dan membuat pelarasan tentang bagaimana untuk bertindak sekiranya terdapat isu yang tersebar.

“Dahulu kita boleh memiliki masa yang lama berbanding hari ini. Sekiranya ada sesuatu isu kita masih boleh respons dalam masa 24 jam.

“Tetapi hari ini apabila sesuatu isu sudah tersebar lebih-lebih lagi di media sosial, masa respons bukan 24 jam tetapi satu jam atau 10 minit.

“Kalau dulu berita ditulis panjang lebar dalam bentuk portal berita dan sebagainya tetapi hari ini rakyat lebih suka berita yang ringkas, padat dan santai terutamanya lagi jika ia mempunyai kapsyen dan gambar yang menarik. – MalaysiaGazette