Saifuddin Nasution Rafizi Ramli PKR election deputy president
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media pada Pertemuan Khas Wakil Rakyat Keadilan di Hotel One World, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 06 JUN 2018

PETALING JAYA – PKR perlu mengadakan pemilihan parti di semua peringkat bermula daripada cabang sehingga Majlis Tertinggi sebelum 21 November 2018 ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan parti tertangguh selama 18 bulan dan ia perlu diadakan sebelum 21 November ini bagi mengelak parti dibatalkan.

“Tempoh memegang jawatan MT dan cabang sehingga 22 Februari  2019 tetapi tak guna jika parti terbatal maka pemilihan akan dilaksanakan,” katanya dalam sidang media selepas program Pertemuan Khas wakil rakyat Keadilan bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Seramai 48 Ahli Parlimen dan 51 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR hadir pada program tersebut.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Anwar menasihati semua wakil rakyat yang hadir supaya terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Anwar mengingatkan kepada semua ahli Parlimen dan ADUN PKR yang menjadi kerajaan Persekutuan serta negeri supaya menyokong kepimpinan PM (Tun Mahathir) yang sedang memikul tanggungjawab besar memulihkan negara.

“Beliau menggesa seperti mana komitmen yang diberikan kepadanya sebagai Ketua Umum PKR dan PH, mahu ADUN dan ahli Parlimen PKR mengambil sikap sama memberi kepercayaan dan sokongan serta dokongan kepada Tun M kerana selepas diberi mandat tugas PM yang begitu berat, sokongan wakil rakyat parti membolehkan beliau menjalankan tanggungjawab dengan mudah dan efektif tanpa masalah,” ujarnya.

Katanya, Anwar juga meminta wakil rakyat PKR menterjemahkan idealisme keadilan berteraskan reformasi melalui peranan dan tanggungjawab.

“Anwar juga menekankan bahawa kemenangan tidak diukur daripada bilangan kerusi yang dimenangi tetapi kejayaan mengisi idealisme perjuangan.

“Beliau (Anwar) juga meminta wkil rakyat supaya memelihara disipilin, menginsafi parti dan berkhidmat untuk rakyat kerana rakyat memerhati gelagat parti dan kepimpinan,” katanya. – MalaysiaGazette