KUALA LUMPUR – Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz enggan mengulas mengenai peletakan jawatan Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia selepas dua tahun berkhidmat.
Zeti yang pernah menjawat jawatan yang sama selama 16 tahun berpendapat bank pusat itu akan terus menjadi institusi yang kukuh untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Saya sudah bagi respon saya kepada pihak yang terlibat (mengenai penawaran Muhammad letak jawatan).
“Apa yang saya nak kata bahawa Bank Negara adalah institusi yang kukuh dan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum meninggalkan Menara Ilham selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan.
Zety juga enggan menjawab soalan tentang pengganti Muhammad.
“Awak perlu tunggu dan lihat,” tambahnya.
Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pagi tadi berkata, Muhammad telah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia. -MalaysiaGazette
















