KUALA LUMPUR – Beri ruang kepada tertuduh untuk mempertahankan diri, kerana itu antara keadilan dalam sistem Islam, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus dari Pas, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali.
Katanya, mencipta persepsi menerusi kenyataan umum semata-mata adalah satu kezaliman kepada pihak tertuduh.
Bahkan, katanya, sebarang salah laku perlu dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan, bukan dimediakan untuk dihukum oleh mahkamah media.
“Perlu berlaku adil meskipun kepada musuh. Kebencian kepada seseorang tidak mewajarkan untuk tidak berlaku adil kepadanya,” katanya yang dipetik melalui status beliau dalam akaun Facebooknya hari ini.
Beliau membuat kenyataan tersebut bagi merujuk kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kepada media semalam, yang mendedahkan dua projek saluran paip melibatkan kos berbilion ringgit yang dimeterai antara kerajaan Malaysia ketika Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dengan syarikat dari China.
Pendedahan Guan Eng itu turut mendapat reaksi Najib yang membalas kenyataan itu dengan berkata, beliau yakin, semua prosedur dan proses perundangan telah dipatuhi berkaitan dengan rundingan dan pelaksanaan dua projek itu.
Menurut Najib, beliau dapati Guan Eng telah menyebut kesemua bayaran yang dibuat kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) adalah mengikut perjanjian, bukan kepada pihak-pihak lain.
Katanya, CPPB ialah anak syarikat kepada salah sebuah syarikat terbesar di dunia dan dimiliki kerajaan China – China National Petroleum Corporation.
“Kedua-dua projek saluran gas ini yang lebih ekonomik dan jaminan manfaat bekalan tenaga bagi Malaysia telah dirunding melalui asas kerajaan kepada kerajaan (government to government) dengan kerajaan China,” kata bekas Perdana Menteri itu. – MalaysiaGazette
















