Home Politik BN belajar jadi pembangkang, walaupun kekok

BN belajar jadi pembangkang, walaupun kekok

Bung Mokhtar Radin
Bung Mokhtar Radin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin mengajak rakan Barisan Nasional (BN) belajar menjadi pembangkang untuk menyuarakan salah laku dan kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH).

Sungguhpun terasa agak kekok pada mulanya, beliau berkata, kerja atau tugasan sebagai pembangkang tidak seberat ketika mewakili kerajaan sebelum ini.

“Kepada rakan Ahli Parlimen BN, belajarlah menjadi suara pembangkang. Memang mulanya kekok sedikit sebagai tidak biasa jadi pembangkang.

“Tetapi, kerja selaku pembangkang tidaklah seberat wakil pemerintah, tetapi banyak yang boleh kita utarakan nanti (pada sidang Dewan Rakyat),” katanya dipetik status beliau melalui Twitter miliknya, kelmarin.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, beliau yang mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan menerusi pertandingan tiga penjuru menang dengan majoriti 9,478 undi.

Bung Mokhtar yang mendapat 14,465 undi mengalahkan pencabarnya, Ghazali Abdul Ghani dari Parti Warisan yang memperoleh 4,987 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Mustapa Datu Tambuyong yang hanya mendapat 2,066 undi.

Beberapa rakannya seperti Datuk Seri Md. Salleh Md. Said Keruak (Kota Belud), Datuk Seri Rahman Dahlan (Sepanggar) dan Datuk Rosnah Abd Rashid Sirlin (Papar) gagal mempertahankan kerusi masing-masing.

Keputusan keseluruhan PRU itu menyaksikan Pakatan Harapan menguasai kerajaan Persekutuan apabila mendapat kemenangan dengan majoriti mudah hasil gabungan parti PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast