KUALA LUMPUR- Belum habis kisah perletakan jawatan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim serta khabar angin yang mengatakan bos Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan serta Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan akan meletakkan jawatan, Telekom Malaysia Bhd. (TM) mengumumkan perletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya (CEO), Datuk Seri Shazalli Ramly berkuatkuasa hari ini.
Syarikat telekomunikasi itu dalam kenyataannya di sini hari ini tidak menyatakan sebarang alasan perletakan jawatan tersebut.
Dengan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Bazlan Osman dilantik sebagai Pemangku CEO berkuatkuasa serta-merta.
Menurut Pengerusi TM, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Bazlan akan meneruskan usaha strategik dan perniagaan yang telah dijalankan TM selama ini.
“Di kesempatan ini, seluruh ahli lembaga pengarah, pihak pengurusan dan kakitangan TM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Shazalli di atas kepimpinan dan sumbangan beliau kepada syarikat.
“Kami mendoakan yang terbaik kepadanya,” katanya.
Shazalli, 58, memegang jawatan tersebut sejak 1 Mei 2017 selepas mengambil alih kepimpinan daripada Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa. – MalayiaGazette
















