PLUS

KUALA LUMPUR – Laluan susur baharu sepanjang 1.3 kilometer di Persimpangan Seremban dijangka dibuka kepada pengguna lebuh raya PLUS pada pukul 3.30 petang esok.

Pembukaan laluan susur yang akses ke lebuh raya bernilai RM12 juta itu dijangka memberi kemudahan kepada kira-kira 18,000 pengguna harian di Plaza Tol Seremban terutama dari Seremban 2 dan Bukit Kepayang, menurut PLUS.

Dengan pembukaan jalan itu, kenderaan dari Seremban 2 dan Bukit Kepayang tidak perlu lagi menyeberangi Jalan Sungai Ujong untuk memasuki Plaza Tol Seremban ke utara kerana mereka boleh terus menggunakan jalan tersebut untuk menuju ke Nilai dan Kuala Lumpur.

Jalan tersebut dijangka dapat menangani kesesakan lalu lintas di Jalan Sungai Ujong dan tol Seremban.

Pembinaan jalan susur itu telah bermula pada Januari tahun 2017 dan ia siap pada 31 Mei lalu

Laluan itu mempunyai tiga lorong tol dan lorong untuk motosikal turut disediakan. – MalaysiaGazette