Wakil UMNO cawangan KLCC memegang kain rentang mempertahankan Majlis Raja-Raja dan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di hadapan Pintu 3 Istana Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa mengambil sikap sambil lewa dan berdiam diri terhadap segelintir pihak yang secara terbuka membuat kenyataan negatif dan menghina institusi raja-raja.

Ketua Cawangan UMNO KLCC, Datuk Seri Dzulkarnain Taib berkata, kepimpinan tertinggi PH juga tidak cuba untuk memartabatkan institusi diraja, sebaliknya memberikan kebebasan sehingga membolehkan segelintir induvidu dengan lantang mempersoal atau menghina Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Jelas Dzulkarnain, pihaknya pelik mengapa kepimpinan berdiam diri, seolah-olah menggalakan sesetengah pihak ini untuk terus membuat kenyataan dan pandangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhamad V.

“Sebenarnya pelik juga mengapa mereka berdiam diri? Apakah sebenarnya agenda atau niat mereka? Mengapa dibiarkan sahaja komen-komen negatif dan pedih yang dilontarkan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja hanya di pandang sepi?

“Kami gesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi untuk memantau dan menghentikan semua perbuataan menghina seperti ini. Bukankah sudah termaktub dalam Perlembagaan bahawa raja-raja adalah satu institusi yang perlu di hormati serta limpah taat setia?

Dzulkarnain Taib

“Apakah agenda komunis yang pernah menjatuhkan institusi raja di beberapa negara seperti Indonesia, Rusia, Nepal dan China akan berulang di sini?,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian di luar pintu masuk Istana Negara berhubung pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara di sini hari

ini.Dzulkarnain menambah, pihaknya juga kecewa kerana Kerajaan PH tidak berpegang dengan janji mereka untuk meletakan pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja- Raja dalam peringkat tertinggi ketika membuat keputusan berkait dengan kepentingan negara.

“Apa sudah jadi dalam isu pelantikan Tommy Thomas yang bukan menjadi pilihan Yang di-Pertuan Agong? Baginda sudah bertitah untuk diberikan calon dalam kalangan Melayu Islam tetapi tidak diendahkan.

“Walaupun kami yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam isu pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara namun hakikatnya tetap sangsi apakah sebenarnya motif kerajaan PH kerana apa yang dilakukan bukan seperti yang dijanjikan.

“Dalam manifesto mereka telah berjanji akan melakukan lantikan Peguam Negara dari dalam kalangan Ahli Parlimen, apa sudah jadi kini?

“Tommy bukan Ahli Parlimen. Beliau juga bukan dari kalangan Melayu atau Islam? Adakah PH ketandusan pemimpin Melayu Islam dalam kalangan Ahli Parlimen? Adakah tiada langsung tokoh pengamal undang-undang Melayu Islam?

“Kita sangsi namun kita terima keputusan Sultan Muhammad V yang sudah pastinya juga telah mendapatkan pandangan tokoh dan pemimpin terlebih dahulu, kita junjung kasih dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong tidak berbelah bahagi,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast