Anwar Ibrahim
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Pertemuan Khas Wakil Rakyat Keadilan di Hotel One World, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 06 JUN 2018

PETALING JAYA – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan hasrat beliau lebih suka mejadi ahli Parlimen biasa atau ‘Backbenchers’ sahaja buat masa ini.

Menurutnya, beliau tidak berhasrat untuk memegang apa apa jawatan tertinggi dalam kabinet sambil mengesahkan tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Pandan.

“Saya ada program ke London, negara Arab dan juga Amerika Syarikat serta Turki untuk beberapa siri mengajar sebelum pulang manyambut Aidilfitri bersama keluarga dan melawat ke negeri-negeri untuk bertemu rakyat dan merakamkan penghargaan atas mandat yang diberikan pada PRU14 lalu.

“Lepas itu dalam masa dua bulan macam itu kita akan bincang sama ada saya sah bertanding atau macam mana, Insyaallah kalau menang saya nak jadi ‘backbenchers’ dulu. Nak tanding mana belum diputuskan,” katanya kepada pemberita selepas Pertemuan bersama wakil rakyat PKR di Hotel One World di sini.

Ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan beliau akan bertanding di Parlimen Pandan, Anwar berkata, beliau tidak akan bertanding sebelum sesi persidangan Parlimen yang dijangkakan 16 Julai ini.

Malah beliau juga menafikan akan bertanding di Pandan dengan meminta isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berundur.

“Saya tidak akan berbuat demikian (Pandan) kerana kalau tanding di Pandan Azizah perlu letak jawatan, mana boleh, beliau adalah TPM.

“Azizah menawarkan Pandan kepada saya tapi saya tidak mahu kerana tidak praktikal. Saya pun kalau boleh tidak mahu jawatan Kabinet pada ketika ini jika saya menang (Parlimen), saya jadi backbenchers dulu, bebas rasanya.

“Ada sebab saya nak jadi ahli Parlimen biasa kerana belum berpengamalan sebagai ahli Parlimen biasa.

“Justeru saya juga tidak mahu spekulasikan atau mengambil kesempatan dengan menyeksa orang lain, biar ia berakhir dengan saya yang pernah melalui keadaan itu sebelum ini,” ujar beliau sebagai merujuk kepada pertanyaan wartawan jika berlaku kekosongan akibat mana-mana wakil rakyat ditangkap atau kematian dan sebagainya. – MalaysiaGazette