Dr Amini Amir Abdullah
Dr Amini Amir Abdullah

KUALA LUMPUR – Jangan ganggu Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-raja Melayu. Langkah mayat kami dahulu.

Demikian amaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kepada mana-mana pihak yang berani mencabar, menghina dan memperlekehkan Agong serta Raja-Raja Melayu.

Menurut Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah, tindakan pihak tertentu sengaja menularkan perbelanjaan peribadi dan pengurusan baginda Sultan Muhammad V serta gesaan agar dihapuskan sistem monarki bagi menggantikan pemerintah secara republik adalah tindakan kurang ajar dan biadab.

“Mereka langsung tidak bertatasusila, selain tidak menunjukkan ketaatsetiaan kepada Sultan Muhammad V serta sistem demokrasi berparlimen yang menjadi amalan kita sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dr Amini Amir yang juga Ahli Dewan Tertinggi Perkasa melahirkan kebimbangan dengan senario itu dan percaya ia sengaja dicetuskan untuk menggugat kredibiliti dan kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu berikutan kontroversi pelantikan Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas.

“Adakah penularan perbelanjaan peribadi dan pengurusan Agong dan gesaan agar dihapuskan sistem monarki serta cadangan diperkenalkan pemerintahan secara republik mempunyai motif jahat yang tertentu?

“Adakah kerajaan Pakatan Harapan hendak mengajak rakyat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong dan institusi Raja-raja Melayu?

“Permainan politik ala mafia ini telah menyebabkan ramai bukan Melayu yang secara terbuka berani mengkritik Agong dan Raja-raja Melayu terutama dalam media sosial dan mengeluarkan perkataan tidak sopan ke atas pembesar negara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Justeru, tegas Dr. Amini Amir, Perkasa memberi amaran kepada semua pihak agar menjaga adab dan menumpahkan sepenuh ketaatsetiaan kepada Agong serta Raja-raja Melayu.

“Kenapa pula dituduh dan dihina Yang Di-Pertuan Agong kononnya baginda telah dirasuah untuk menolak pelantikan Peguam Negara serta melengah-lengahkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang baharu?

“Kepada yang bersikap kurang ajar dan biadab, kita tidak teragak-agak untuk bertindak agresif dan sama sekali tidak akan berpeluk tubuh dalam isu ini.

“Perkasa akan tegak berdiri sehidup semati bersama Agong dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu,” ujar beliau.

Beliau menggesa semua orang Melayu bangkit menyatakan sokongan serta taat setia tidak berbelah bagi kepada Sultan Muhammad V dan institusi Raja-Raja Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast