Hishamuddin Rais
Hishamuddin Rais

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial, Hishamuddin Rais menafikan beliau memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di blognya kelmarin.

Peguamnya, Zaid Malek berkata, Hishammuddin telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam dan mendakwa blognya telah digodam oleh pihak tertentu yang menulis dan menyiarkan artikel berkenaan.

“Susulan itu, polis memanggil Hishamuddin untuk memberi keterangan di Balai Polis Petaling di sini malam ini bagi membantu siasatan dan tiada tangkapan dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Zaid berkata proses merekod keterangan itu mengambil masa selama 80 minit dan selesai pada jam 12 tengah malam tadi.

Difahamkan Zaid menemani Hishamuddin ke balai polis itu kira-kira 10.30 malam setelah berhubung dengan pihak polis yang menyiasat dakwaan tersebut.-BERNAMA