Ruslan Kasim
Ruslan Kasim

KUALA LUMPUR – Pendedahan bekas wartawan, Datuk A Kadir Jasin mengenai perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh 16 bulan sebanyak RM256.9 juta dianggap suatu percubaan untuk meruntuhkan institusi raja dan menghapuskan sistem Raja Berperlembagaan.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ruslan Kasim berkata, pertubuhan itu memandang serius persoalan dibangkitkan Kadir kerana melibatkan sebuah institusi yang selama ini disifatkan sebagai pelindung, penjamin, pemelihara hak dan kepentingan bangsa Melayu seluruhnya.

Menurut beliau, institusi raja ini juga berkait dengan martabat dan maruah, kekukuhan dan kekuatan ‘benteng terakhir’ bangsa Melayu itu sendiri.

Malah, katanya, institusi raja adalah ‘alter ego’ atau cerminan diri terhadap keberadaan bangsa Melayu dalam segala liku sejarah dan peradabannya.

“Perkasa berhak bertanya mungkinkah perkara ini ada kaitannya dengan skema besar, perancangan belakang tabir dan konspirasi untuk menggantikan sistem beraja dengan sistem republik seperti yang sedang hangat diperkatakan kini, khususnya dari pihak yang mendokong pemerintah?

“Atau mungkinkah ianya juga merupakan gerakerja yang telah mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak asing.

“Jika benar, ia seolah memberi erti bahawa Malaysia kini sedang berada di perambangan neo-kolonialisme yang dicatur oleh pihak luar,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Kata Ruslan, Perkasa menyokong tindakan polis membuka kertas siasatan untuk menyiasat Kadir mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana dianggap sebagai hasutan dan fitnah.

Perkasa juga, kata beliau, melihat kenyataan Kadir ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara yang menjadi tonggak tataurus dan tadbir kerajaan dan rakyat seluruhnya.

“Sebelum nasi menjadi bubur, langkah pencegahan haruslah diambil oleh pihak berwajib agar ianya tidak menjadi barah yang akhirnya akan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh,” katanya.

Beliau berkata, Perkasa memberi amaran jika hal itu tidak dibendung segera, akan terjadilah ‘antan sama antan belaga akhirnya ayam ditepi lesung yang akan kekenyangan dan menang sorak kampung tergadai’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast