Tujuh mayat ditemui di kawasan sekitar pergunungan Sugar Loaf di Rio de Janeiro. foto BBC

RIO de JANERIO – Pasukan penyelamat Brazil telah mengesan tujuh mayat dari kawasan batu-batu pantai dan kaki gunung Sugar Loaf.

Mayat-mayat yang ditemui itu merupakan kumpulan penjenayah yang terlibat dalam kes tembak-menembak yang menyebabkan penduduk sekitar panik pada hari Jumaat dan Sabtu lalu.

Kejadian berlaku di kawasan kejiranan Urca, dianggap sebagai yang paling selamat dan paling eksklusif di Rio.

Susulan penemuan mayat-mayat itu, perkhidmatan kereta kabel telah digantung selama dua jam.

Ia menyebabkan lebih daripada 100 orang pelancong terperangkap di puncak gunung selama dua jam ketika polis dan anggota kumpulan penjenayah berbalas tembakan di kawasan pergunungan itu.

Kumpulan penjenayah terbabit dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah.

Polis mengatakan kumpulan yang terlibat dalam kejadian tembak-menembak telah berjuang selama berminggu-minggu untuk mengawal mata jualan pengedaran dadah di BabilĂ´nia.

Seorang lelaki ditahan dalam operasi itu, beberapa senjata telah dirampas dan seorang anggota polis cedera akibat terkena serpihan bom tangan.

Keluarga tujuh yang maut itu mendakwa polis membunuh kesemua suspek selepas mereka menyerah diri.

Keganasan semakin memuncak di seluruh Brazil sejak dua atau tiga tahun yang lalu.

Negara ini sedang melalui salah satu krisis ekonomi dan politik yang paling lama dalam sejarahnya.

Keadaan Rio de Janeiro telah terpengaruh oleh krisis, setelah kejatuhan ketara dalam pendapatan minyak penting dan skandal rasuah. – MalaysiaGazette