Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kajian secara menyeluruh daripada segi kemampuan ekonomi negara perlu dilakukan sebelum mewujudkan projek kereta nasional kedua bagi menggantikan Proton dijalankan.

Demikian kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sambil menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu merupakan satu langkah regresif dan terkebelakang.

“Kerajaan melalui Jemaah Menteri perlu memperhalusi cadangan ini sebaik-baiknya sebelum bersetuju untuk meneruskan projek ini.

“Kajian menyeluruh dari segi kebolehlaksanaan (feasibility) termasuk mengurangkan kos projek MRT 3 dihidupkan semula pada masa akan datang atau menggunakan sistem lebih menjimatkan kos seperti Bas Rapid Transit (BRT) yang tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja.

“Saya berharap keutamaan diberikan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam dengan menambahbaik “last-mile connectivity” seperti solusi e-hailing dengan menggunakan kenderaan dan motosikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri pada Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) ke-24 di Tokyo hari ini bahawa Malaysia bakal memulakan satu lagi projek kereta nasional.

Mahathir berkata, cadangan itu bagi menggantikan Proton yang beliau lancarkan pada 1984 kini bukan lagi kereta nasional.

Khairy Jamaluddin berkata, projek kereta nasional bukan sahaja tidak mesra alam daripada segi pelepasan karbon dioksida, bahkan bakal menelan belanja besar kepada kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan projek pengangkutan awam.

“Sejak 1984 Kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kewangan merangkumi pinjaman mudah dan geran berjumlah RM15.3 bilion kepada Proton.

“Projek kereta nasional seperti ini juga akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais yang mencecah sehingga 105 peratus yang membebankan pengguna yang ingin membeli kereta jenama selain kereta nasional,” katanya.

Khairy menambah, projek kereta nasional Mahathir itu dilihat tidak menyumbang sebarang kebaikan dan manfaat kepada rakyat dan alam sekitar khusus dalam menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya.

“Ini juga banyak bergantung kepada kemampuan kita dalam mencapai ekonomi skala atau ‘economies of scale’. Kalau skala pengeluarannya kecil, sasaran impak ekonomi yang diingini mungkin tidak akan dicapai,” katanya. – MalaysiaGazette