Anthony Loke
Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – Pengguna perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Lembah Klang akan menghadapi kelewatan perjalanan bermula hari ini sehingga November 2019.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, program penambahbaikan landasan berkembar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Komuter mengakibatkan salah satu landasan menghubungkan dari Stesen Komuter Kuala Lumpur ke Simpang Port Klang dan Rawang akan ditutup.

Pelaksanaan kerja penambahbaikan itu katanya, menyaksikan KTMB terpaksa menyusun semula jadual perjalanan komuter.

Program yang melibatkan fasa pertama pembinaan landasan berkembar melibatkan sejauh 40 kilometer dengan kos berjumlah RM1.4 bilion akan siap pada November 2019.

“Saya ingin menyentuh masalah yang membelenggu pengguna komuter yang banyak mengadu di media sosial termasuk kepada saya sendiri mengenai kelewatan perkhidmatan komuter.

“Hasil siasatan mendapati kelewatan perkhidmatan komuter itu disebabkan salah satu trek landasannya iaitu menghubungkan Stesen Kuala Lumpur ke Simpang Port Klang dan Rawang perlu ditutup untuk kerja menaiktaraf.

“Ia akan memakan masa lebih kurang setahun empat bulan lagi iaitu November 2019 untuk disiapkan dan rentetan itu jadual perkhidmatan Komuter mengalami perubahan untuk mengelak kesulitan penumpang,” katanya dalam sidang media di Stesen KL Sentral di sini.

Beliau mengadakan mesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hisham Samsudin mengenai prestasi semasa dan projek projek yang dikendalikan syarikat itu.

Katanya, Rani Hisham mengakui kelewatan perjalanan perkhidmatan komuter selepas ini yang mana perkhidmatannya disediakan setiap 30 minit untuk waktu puncak manakala 60 minit di luar waktu puncak.

Beliau menasihati pengguna komuter supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan pengangkutan alternatif yang disediakan KTMB.

“Walaupun sasaran kita lewat kita akui bahawa ia tak boleh jamin 100 peratus ketepatannya.

“Tiga hari lalu jadual baharu diperkenakan, pretasi KTMB sehingga kini ialah 90 peratus walaupun waktu puncak ia tidak dapat capai ketepatan 30 minit satu tren, ia akan menyebabkan tren lain lewat juga, kadang kadang 45 min baru sampai. Ini sesuatu yang diakui sendiri.

“Setakat ini kita cuba memperbetulkan dan mempercepatkan perkhidmatan dengan mengkaji alternatif lain untuk dilaksanakan sebagai langkah mengurangkan kesulitan pengguna Komuter semaksimum boleh,” katanya lagi.

Beliau juga mencadangkan pengguna komuter mempertimbangkan berhenti di tiga stesen bersepadu Kajang, Sungai Buloh dan Subang Jaya yang menyediakan perkhidmatan LRT dan MRT.

“Kami mahu berterus terang dengan rakyat mengenai apa yang sedang berlaku dan daripada memberi alasan menutup perkara sebenar,” ujarnya.

Justeru katanya, KTMB dan juga kementerian sedang merancang untuk menambah bas pengantara di setiap stesen sebagai alternatif mudah untuk pengguna KTMB bergerak di stesen-stesen yang mengalami kelewatan.

“Selain itu penyediaan pas bulanan bernilai RM100 juga antara alternatif yang turut diperhalusi pihak kementerian,” tegasnya.

Jadual perjalanan baharu itu boleh diperolehi dalam laman web rasmi dan stesen-stesen KTMB untuk memudahkan pengguna merancang perjalanan mereka.

Untuk informasi lanjut dan jadual waktu baharu orang ramai boleh menghubungi KTMB di talian 03- 22671200 atau www.ktmb.com.my atau Twitter @ktm_berhad. – MalaysiaGazette