PULAU PINANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas jet ski yang dinaikinya dengan seorang budak pantai bertembung dengan jet ski yang dinaiki ibunya dalam kejadian di pantai Batu Feringghi, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu, Jordan Phang Wen Jie maut dengan kecederaan pada bahagian muka dipercayai akibat perlanggaran tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor dan sedang bercuti di sini membonceng jet ski yang disewa daripada sebuah syarikat pengendali sukan air di kawasan itu.
Ketika kejadian, katanya, berlaku angin kuat secara tiba-tiba hingga menyebabkan jet ski yang dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum bergesel dengan jet ski ibunya.
“Disebabkan perlanggaran itu, mangsa terjatuh ke dalam laut sebelum ahli keluarganya membawa mangsa ke tepi kolam renang di sebuah di sini dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh seorang pembantu pegawai perubatan daripada Hospital Pulau Pinang (HPP) yang tiba di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Anuar, hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat kecederaan otak dan saraf tunjang pada tulang belakang disebabkan kesan hentakan oleh benda tumpul.
Mangsa dan keluarganya yang mula bercuti di pusat peranginan itu semalam difahamkan sepatutnya pulang hari ini. – MalaysiaGazette