Kamal Adli
Kamal Adli

KUALA LUMPUR – Tiga hari sahaja lagi menjelangnya Hari Raya Aidilfitri sudah tentu banyak persiapan yang sudah dilakukan.

Bagi pelakon, Kamal Adli, persiapannya untuk duit raya mencecah RM3,000, kerana pelakon drama Sha & Shah di Astro Ria itu mempunyai 60 orang anak saudara.

“Anak-anak buah saya ramai jadi tahun ini saya memang dah peruntukan jumlah tertentu. Tahun ini saya akan balik ke kampung halaman di Pekan, Pahang untuk sama-sama meraikan Aidilfitri dengan kaum keluarga.

“Jika orang ramai tertentu nak makan lemang dengan rendang ayam atau daging, ia berbeza buat saya apabila saya lebih suka makan lemang dengan sardin. Itu antara menu raya yang paling saya nantikan,” katanya.

Kamal, 32 menambah, setiap tahun juadah rutin ibunya adalah mi sup dan nasi dagang.

Uniknya keluarga Kamal apabila berkumpul menjelang hari raya akan bermain futsal di Pekan, Pahang yang disifatkannya baik untuk mengeratkan silaturahim seisi keluarga.

“Memang setiap tahun kami akan adakan aktiviti futsal raya bagi merapatkan lagi silahtuhrahim sebelum semua kembali semula bekerja selepas sambutan raya,” tambahnya. – MalaysiaGazette.