KUALA LUMPUR – Kadar jangka pendek antara bank ditutup stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Lebihan dalam sistem konvensional susut kepada RM30.99 bilion daripada RM33.36 bilion sebelum ini manakala sistem Islam susut kepada RM7.18 bilion daripada RM13.08 bilion.

Terdahulu, BNM menjalankan dua tender pasaran wang konvensional, tiga tender Qard dan satu tender repo.

BNM menyemak semula tender semalaman konvensionalnya kepada RM31.0 bilion daripada RM28.2 bilion sebelumnya.

Pada 4 petang, bank pusat itu menjalankan tender pasaran wang konvensional RM31.0 bilion dan tender pasaran wang Qard RM7.1 bilion, kedua-duanya untuk wang empat hari.

Purata kadar faedah semalaman berada pada 3.19 peratus, manakala kadar satu, dua dan tiga minggu masing-masing pada 3.26 peratus, 3.30 peratus dan 3.35 peratus.

Pasaran akan ditutup pada Jumaat sempena cuti Hari Raya Aidilfitri. – Bernama