Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Jualan asing ekuiti Malaysia di Bursa Malaysia meningkat kepada RM1.21 bilion minggu lepas berbanding RM903.1 juta pada minggu sebelumnya,.

Dalam laporan mingguannya, MIDF Amanah Investment Bank Bhd berkata, ia juga menandakan minggu ketujuh penjualan asing – menyamai tempoh penjualan yang tidak terputus paling lama dilihat pada 2017 dari minggu yang berakhir pada 22 September hingga 3 November, 2017.

Firma itu berkata, pada hari Jumaat (15 Jun), jualan berpanjangan kepada 28 hari.

Menurutnya, jualan hari Isnin melonjak di atas paras RM200 juta kepada RM216.5 juta sebelum meningkat kepada RM359.0 juta pada hari Selasa.

“Para pelabur gugup pada Selasa di tengah-tengah sidang kemuncak bersejarah antara Amerika Syarikat dan Korea Utara, mengheret FBM KLCI susut 0.66 peratus kepada 1,764 mata.

“Aktiviti jualan pada hari Rabu kembali ke tahap hari Isnin kerana pelabur global hanya menjual RM230.4 juta di tengah-tengah mood para pelabur menunggu keputusan Rizab Persekutuan mengenai kadar faedah, “katanya.

Jualan asing mencapai kemuncak pada hari Khamis dengan jumlah RM402.2 juta sebelum bursa tempatan ditutup pada hari Jumaat sempena Aidilfitri.

Pasaran Korea, Taiwan dan Filipina dan Thailand juga mengalami aliran keluar yang besar, didorong oleh kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan.

“Malaysia merekodkan aliran keluar mingguan kedua terbesar di antara empat pasaran ASEAN yang dipantau selepas Thailand,” kata firma penyelidikan itu.

Walau bagaimanapun,aliran keluar tahun ini dari Malaysia berjumlah RM4.23 bilion atau adalah yang paling rendah di kalangan rakan-rakan ASEAN, iaitu Thailand, Filipina dan Indonesia.

Penyertaan asing kukuh kerana nilai purata dagangan harian asing meningkat sebanyak 24 peratus kepada RM2.03 bilion, meneruskan minggu ke-11 berturut-turut melepasi RM1 bilion. – MalaysiaGazette