Banjir kini menjadi ujian buat ahli politik baharu yang menang PRU14 pada bulan lalu.
Gambar hiasan

PULAU PINANG – Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada bulan lalu menyaksikan kemunculan ramai muka baharu di kalangan ahli politik yang tidak dikenali.

Malah lebih mengejutkan, ada yang pertama kali bertanding sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya menewaskan nama besar daripada parti Barisan Nasional yang memimpin kerajaan sebelum ini.

Namun menjadi Yang Berhormat (YB) segera bukanlah mudah seperti yang disangka. Apatah lagi tidak memiliki pengaruh akar umbi di kawasan yang baru dimenangi gara-gara menjadi calon secara tiba-tiba.

Bagi seorang YB baharu di negeri ini, banjir kecil yang terjadi baru-baru ini merupakan ujian pertama buat diri beliau.

Ini kerana bekas YB sebelum ini pantas mengambil tindakan dengan mengunjungi mangsa banjir tidak sampai sejam banjir berlaku.

Justeru, apabila YB baharu ini lambat muncul, kandungan mesej di Whatsapp mula mempertikaikan di mana YB itu berada sekarang.

Mungkin baru ingin menyesuaikan diri dengan keadaan, YB ini muncul juga akhirnya di kawasan yang dilanda banjir walaupun agak terlewat.

Beliau sanggup meredah air yang tidak tinggi mana pun demi membalas jasa pengundi yang telah memangkah partinya pada PRU14 lalu.

Bagaimanapun suasana menjadi agak kelakar apabila kemunculan lintah dan pacat yang menyebabkan keadaan menjadi sedikit kecoh.

Apa tidaknya, YB baharu ini yang lari dulu menyelamatkan diri daripada binatang yang sinonim dengan rasa geli kepada segelintir orang itu.

Tindakan YB baharu itu akhirnya menjadi bahan gurau kepada masyarakat sekeliling.

Sebenarnya menjadi YB ini, perlu berani dan bertanggungjawab dalam semua hal. Buat YB baharu, mungkin beliau dalam proses menyesuaikan diri untuk menjadi ‘hamba’ rakyat selepas ini.

Realitinya, maksud YB itu adalah Yang Berkhidmat bukannya Yang Berhormat. – MalaysiaGazette