Gobind Singh
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mahu tindakan tegas kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sekiranya terdapat sebarang penyelewengan atau salah laku kuasa.
Dalam kenyataan  hari ini, beliau mengakui disahkan mengenai kehadiran pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 7 Jun lalu dan siasatan yang dilakukan ke perbadanan itu berkenaan peruntukan bagi tahun 2017 yang dipertikaikan.
“Saya ingin menegaskan di sini kementerian saya tidak akan sesama sekali bertolak ansur atau berkompromi dalam apa jua perkara melibatan elemen rasuah, ketirisan ataupun salah guna kuasa dalam mana-mana jua agensi atau jabatan dibawah bidang kuasa kami,” katanya dalam kenyataan itu.
Tambah Gobind, perkara yang melibatkan elemen rasuah, ketirisan ataupun salahguna kuasa akan melumpuhkan industri kreatif negara.
Jelasnya jika wujud unsur-unsur itu,ia boleh melemahkan persaingan sihat yang perlu bagi mengembangkan industri ini dan boleh melumpuhkan perkembangan industri ini secara keseluruhan.
Ujar beliau, sekiranya siasatan menunjukkan wujudnya sebarang elemen ini, maka tindakan tegas perlu diambil mahupun secara undang-undang ataupun secara dalaman bagi menangani perkara ini dengan serta-merta.
“Oleh itu, SPRM seharusnya diberikan ruang yang sepenuhnya dalam siasatan ini dan pihak-pihak berkaitan perlu memberi kerjasama yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan ini.
“Saya harap siasatan ini juga akan melihat secara mendalam kepada aturcara dalam mana peruntukan-peruntukan FINAS digunakan dalam masa lalu.
“Sekiranyadidapati wujudnya sebarang kelemahan atau kekurangan, cadangan-cadangan bagi memperkukuhkannya dapat dikemukakan untuk pertimbangan kementerian kami,” tegas beliau.- MalaysiaGazette