Presiden Hak Asasi Manusia Kebangsaan (HAKAM), Datuk Ambiga Sreenevasan bercakap kepada media sambil diiringi Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Datuk Mah Weng Kwai (dua kiri) selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2018.
Presiden Hak Asasi Manusia Kebangsaan (HAKAM), Datuk Ambiga Sreenevasan bercakap kepada media sambil diiringi Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Datuk Mah Weng Kwai (dua kiri) selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) berikrar untuk memastikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjadi penyumbang utama kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan dana negara oleh induvidu tertentu tidak lagi berlaku pada masa depan.

Menurut Ahli Jawatankuasa IRC, Datuk S. Ambiga, pihaknya bukan memberi fokus kepada kes 1MDB sebaliknya sedang melakukan reformasi dan pembaharuan dalam sistem serta struktur yang sedia ada bagi memastikan undang-undang baharu dapat mencegahnya.

Jelas beliau, IRC kini sedang bertungkus lumus bagi memastikan tidak ada langsung elemen rasuah menghantui rakyat serta negara pada masa akan datang.

“Apa yang sedang menghantui kita dalam sistem sedia adalah elemen rasuah serta salah guna kuasa oleh induvidu tertentu. Semua itu perlu dimansuhkan, perlu ada undang-undang baru dan mungkin yang tidak perlu akan dimansuhkan.

“Kita sudah kesuntukan masa, kami sememangnya melihat pembaharuan institusi SPRM dan agensi lain seperti polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC). Semua itu sudah pasti.

“Kita tidak mahu skandal 1MDB seperti ini berlaku sekali lagi. Kerana itu perubahan ini sangat penting dan menjadi keutamaan kami. Rakyat mahukan perubahan. Itu kehendak mereka dan keutamaan kami,” katanya selepas bermesyuarat dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham hari ini.

Ambiga menambah, pihaknya setakat ini telah menerima lebih 1,000 kertas cadangan pembaharuan serta perubahan yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia.

Ujar beliau, IRC telah menerima banyak pandangan daripada orang awam yang mahu pembaharuan dilaksanakan pada institusi berkaitan.

“Kita dalam proses menilai, menyemak dan melakukan cadangan perubahan itu sebelum menyampaikan kembali kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 15 Julai depan.

“Rakyat begitu teruja, rakyat sebenarnya mahu negara ini bebas daripada elemen rasuah. Kita juga sedang melihat untuk membuat perubahan undang-undang yang memberikan kuasa mutlak kepada induvidu tertentu dalam negara untuk membuat keputusan.

“Semua itu akan diubah bagi memastikan kepentingan dan kehendak rakyat itu sebenarnya terjaga dan terbela. Kuasa dalam tangan segelintir induvidu sebelum ini telah menyebabkan ada yang menyalahgunakannya untuk kepentingan peribadi.

“Kerana itu isu seperti skandal 1MDB menjadi perhatian dunia ketika ini, kita sedang meneliti dan lakukan perubahan ini. Itu adalah tanggungjawab dan tugas kami,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast