Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.
Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

PULAU PINANG – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa mengesahkan partinya menyerahkan nama beliau untuk salah satu jawatan menteri dalam barisan Kabniet Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, beliau menafikan akan dilantik sebagai menteri luar seperti senarai anggota Kabinet yang tular di media sosial minggu lalu.

Menurut Ahli Parlimen Parit Buntar itu, Amanah mengambil keputusan menyenaraikan beliau antara calon menteri berdasarkan  pengalaman dalam arena politik negara selain kepimpinannya dalam parti.

Dalam masa sama, beliau mengakui bersedia berkhidmat sekiranya diberi kepercayaan oleh Dr. Mahathir dan menganggapnya sebagai penghormatan serta amanah yang diberikan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya tidak pasti jawatan (portfolio) apa yang bakal diberikan, soalan ini hanya akan terjawab apabila pengumuman rasmi dibuat oleh Dr. Mahathir.

“Tetapi apa pun jawatan yang diberikan, saya menganggapnya sebagai amanah dan  bersedia untuk berkhidmat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua  Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di Arena of Spice, Bayan Baru, di sini petang tadi.

Sebelum ini, Mujahid disebut-sebut bakal dinamakan sebagai menteri luar dalam senarai penuh Jemaah Menteri yang ditularkan menerusi media sosial.

Senarai calon jemaah menteri itu didakwa akan dipersembahkan  untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun, tidak ada mana-mana pihak mengesahkan senarai itu dengan Dr. Mahathir hanya dijangka mengumumkan senarai Kabinetnya sebelum Parlimen bersidang  16 Julai ini.

Setakat ini, hanya 13 menteri  mengangkat sumpah jawatan masing-masing dengan Dr. Mahathir dilaporkan tidak mahu Kabinetnya memiliki lebih daripada 30 kementerian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast