Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat seolah-olah masih terasa hati serta merajuk dengan kritikan daripada pembangkang khasnya Pas berikutan kenyataan ‘menghina’ beliau beberapa hari lepas di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng berkata, pendedahan penyelewengan kewangan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga skandal lain dibuat atas arahan Perdana Menteri.

Menteri Kewangan itu menambah, beliau bukanlah Perdana Menteri dan tidak mempunyai kuasa untuk memberikan arahan kepada menteri-menteri lain bagi mendedahkan skandal kewangan yang berlaku dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Tidaklah kena pada tempatnya untuk saya mengarahkan seorang menteri yang lain mendedahkan skandal kewangan kerajaan lama yang berlaku dalam Kementerian Kewangan yang disandang oleh saya.

“Rakyat berhak tahu tentang kedudukan sebenar ekonomi dan status kewangan negara. Rakyat tidak mahu kerajaan sorok-sorok atau sembunyikan lagi. Berani kerana benar.

“Semasa berjumpa dengan Datuk Seri Anwar, beliau juga bersetuju,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Umum PKR itu yang mahu Guan Eng bijak mengimbangi antara tanggungjawab untuk meyakinkan pelabur dan kepentingan untuk membongkar segala penipuan dan penyelewengan.

Anwar mencadangkan tanggungjawab membongkar segala salah laku dan penyelewengan diserahkan kepada menteri atau agensi lain kerana jawatan Menteri Kewangan statusnya lebih sensitif.

Jelas Guan Eng, kementeriannya akan terus membongkarkan semua skandal kewangan dalam tempoh masa 100 hari seperti mana yang diarahkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kementerian Kewangan juga, katanya telah menggariskan rancangan alternatif untuk menangani beban hutang RM1 bilion menerusi penangguhan projek-projek dan penjimatan perbelanjaan kewangan.

Langkah-langkah perbelanjaan berhemah ini diambil tanpa menjejaskan defisit bajet yang terus kekal sebanyak 2.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan telah berjaya menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan membayar Bantuan Sara Hidup (dulunya dikenali sebagai BR1M) tanpa menyebabkan Malaysia menjadi bankrap.

Malah, Guan Eng berkata, beliau telah bertemu dengan pelbagai pelabur serta pengurus dana dari dalam dan luar negara untuk menerangkan dasar kewangan negara.

Menteri Kewangan itu berkata, beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk berjumpa beberapa kali dengan Anwar untuk memberikan penerangan tentang keadaan ekonomi negara dan juga skandal kewangan yang memudaratkan beban tanggungan hutang.

Keadaan fiskal Kerajaan Persekutuan terjejas kerana hutang yang melebihi RM1 trillion ekoran skandal kewangan 1MDB dan perbelanjaan boros sebelum ini.

“Anwar juga terkejut dengan impak negatif meluas berhubung penyelewengan kewangan oleh kerajaan lama dalam bentuk memalsukan penyata kewangan, menyorokkan fail penyata kewangan dan menanda fail penyata kewangan berwarna merah khas untuk orang tertentu sehingga tidak boleh diakses oleh Ketua Audit Negara,” katanya. – MalaysiaGazette