Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad
Dr. Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Kabinet bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat isu monopoli melibatkan tiga kementerian.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ketiga-tiga kementerian itu ialah Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurutnya, jawatankuasa tersebut akan diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju menubuhkan jawatankuasa itu selepas ketiga-tiga kementerian yang terlibat membangkitkan isu kewujudan monopoli dalam kementerian,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, KKM mengambil inisitif dengan dua lagi kementerian berkenaan untuk bergabung dalam perkara itu bagi mendapatkan harga yang lebih baik terhadap bekalan ubat-ubatan yang diperoleh.

Kata beliau, jawatankuasa yang diketuai oleh Mohamed Azmin itu akan beroperasi dalam waktu terdekat dan sebelum bermula ia perlu diperhalusi kerana perkara tersebut sering timbul setiap kali Kabinet bermesyuarat.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk melakukan siasatan mengenai dakwaan wujudnya monopoli bekalan ubat-ubatan di negara ini.

Ini kerana, kira-kira 33.4 peratus atau RM1.1 bilion daripada perbelanjaan farmaseutikal kementerian adalah dari syarikat konsesi, manakala 66.6 peratus atau RM2.2 bilion adalah pembelian oleh kemudahan melalui kontrak atau sebut harga pusat.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, kerajaan membubarkan Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) sebagai langkah merasionalisasikan kementerian itu.

Katanya, pembuburan itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pagi tadi. – MalaysiaGazette